TERKINI :

Sunday, December 24, 2017

ADAKAH ISA SAMAD "KAMBING-HITAM" PRU 14?

Berdasarkan respon beberapa pihak dalam UMNO berhubung isu tanah Felda di Jalan Semarak yang telah berpindah tangan kepada sebuah syarikat swasta, termasuk kenyataan Najib Razak sendiri yang mengarahkan siasatan serta-merta serta tindakan akan diambil hasil daripada siasatan itu, kedudukan bekas Pengerusi Felda, Isa Samad dilihat tidak lagi selamat.

Hampir dalam semua yang kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO dan kerajaan, tidak terkecuali dalam sidang akhbar oleh Pengerusi Felda sekarang, Shahrir Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Razali Ibrahim berkaitan isu tersebut, segala-galanya tampak menjurus kepada Isa sebagai subjek yang mahu dipersalahkan.

Hakikat bahawa Felda berada di bawah pengawasan dan dagu Najib serta wakil JPM dan Kementerian Kewangan turut berada dalam Lembaga Pengarah Felda di mana Najib adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, seolah-olah cuba dikesampingkan begitu saja.

Jika Isa bersalah kerana memandai-mandai membuat keputusan yang merugikan Felda dan para peneroka itu, tiada siapa yang merasakan beliau tidak harus memikul beban kesalahan itu.

Apa yang dibimbangi ialah semua ini tidak lebih merupakan satu lagi episod drama yang sengaja dipentaskan untuk meraih undi dan sokongan menjelang pilihanraya umum akan datang.

Lebih-lebih lagi isu ini mula didedahkan oleh sebuah media arus perdana yang berada di bawah kawalan Najib sendiri dan seseorang yang dikatakan penasihat paling kanannya adalah mengawal kumpulan media tersebut.

Najib pula, dalam tiga tweetnya yang berturutan berkaitan isu tanah Felda itu, jelas memperlihatkan mahu tindakan segara diambil kepada pihak yang didapati bersalah.

Selain itu, dalam sidang akhbarnya baru-baru ini, Shahrir ada menyebut beliau sudah mengetahui mengenai kehilangan tanah Felda itu sebaik saja dilantik menjadi Pengerusi Felda pada awal tahun ini.

Jika begitu, mengapa laporan polis hanya dibuat pada 12 Disember yang lalu iaitu selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2017?

Kalau betul  sudah diketahui lebih awal tanah itu berpindah tangan dan ia benar-benar kesalahan serius, mengapa laporan polis tidak dibuat pada Februari atau Mac yang lalu?

Melihat bahawa tarikh pilihanraya makin hampir dan Najib terus terbelit serta terbelenggu dengan banyak isu yang menyesakkan nafasnya seperti 1MDB, derma RM2,600 juta, berkawan baik dengan Trump, penggadaian aset negara kepada China, sistem IMAMS dan banyak lagi, tidak mustahil isu tanah Felda ini adalah plot yang sengaja dirancang untuk menutup semua isu-isu tersebut.

Tambahan lagi,  percubaan Najib untuk melemahkan Tun Mahathir Mohamad melalui RCI forex juga sudah dilihat gagal mencapai sasaran seperti yang beliau harap-harapkan pada awalnya.

RCI forex bukan saja mudah difahami maksud tersiratnya oleh orangramai yang hanya bertujuan untuk mengaitkan pemimpin-pemimpin pembangkang dilihat bersubahat dalam kerugian urusniaga matawang lebih 30 tahun lalu, malah  seperti kata Tun Mahathir sendiri, hasil laporannya semata-mata berdasarkan sangkaan yang telah ditukar menjadi fakta.

Lebih daripada itu, dengan Tun Mahathir turut mengemukakan saman terhadap anggota RCI, Najib dan kerajaan serta menolak hasil laporannya, menjadikan ianya sebagai modal PRU 14 dilihat sudah terkekang dengan sendirinya.

Sebab itulah sehingga sekarang pihak polis difahamkan masih belum mengambil keterangan Tun Mahathir berhubung RCI forex itu, meskipun laporan polis dibuat hampir serentak dengan ia hasil laporannya diserahkan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

Maka, apa lagi modal Najib untuk mendepani pilihanraya umum akan datang, mengelakkannya daripada hilang kuasa  dan seterusnya tidak menghuni penjara sebagai destinasi akhir kehidupannya seperti yang berulang-kali dijanjikan oleh Tun Mahathir jika Pakatan Harapan berjaya menumbangkan BN dan seterusnya mengambil alih kuasa dalam pilihanraya nanti?

Tidakkah isu tanah Felda ini, lebih-lebih lagi jika Isa ditangkap dan seterusnya didakwa di mahkamah dalam waktu terdekat ini, ia secara automatik akan menjadi lonjakan yang mampu menaikkan sokongan rakyat kepada Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang?

Annuar Musa sudah dilepaskan, Bung Mokhtar yang pernah disiasat berkaitan pembelian saham amanah menggunakan dana Felda mungkin terus senyap begitu saja isunya, maka Isa adalah satu-satunya mangsa yang tinggal serta paling munasabah untuk "dikambing-hitamkan" sebelum pilihanraya ini.

Bersiap-sedialah wahai Isa untuk dijadikan mangsa oleh Najib, UMNO dan BN!!! (ShahbudinHusin 24/12/2017).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...