TERKINI :

Sunday, December 31, 2017

2018 : TAHUN RAKYAT TUNTUT PERUBAHAN DAN KEADILAN

PERUTUSAN TAHUN BARU SETIAUSAHA AGUNG KEADILAN: TAHUN RAKYAT TUNTUT PERUBAHAN DAN KEADILAN

_30 Disember 2017_

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah pertama sekali marilah sama-sama kita menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya kita diberi peluang untuk melangkah ke tahun 2018. Waktu yang datang dan pergi adalah satu bentuk amanah dan boleh menjadi satu kerugian besar kepada mereka yang membiarkan waktu berlalu tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat.

Sesungguhnya, walaupun tahun 2017 telah dilalui dengan suasana penuh mencabar, namun rakyat Malaysia perlu bangkit menuntut perubahan dengan mengambil segala kesilapan sebagai pengajaran yang perlu ditempuh demi generasi anak cucu kita.

Meskipun Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara sebagai seorang tahanan politik, beliau perlu dibebaskan segera kerana sudah terlalu banyak kritikan dan kecaman didengari di peringkat antarabangsa.

KEADILAN dengan tegas percaya bahawa perbicaraan Anwar Ibrahim hanyalah sandiwara pihak kerajaan Umno BN dan sememangnya tidak punyai asas keadilan.

Tahun 2018 ini bakal diingati sebagai antara tahun yang penting dalam kalendar politik negara kerana tahun ini Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dianggap ibu segala pilihan raya bakal diadakan.

Justeru, pengundi perlu menginsafi bahawa kenaikan harga barang keperluan, cukai GST dan ketidaktentuan harga minyak amatlah membebankan. Manakala sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan sangat membebankan generasi muda untuk meneruskan kehidupan yang sempurna.

Saya pasti pilihan raya kali ini akan menunjukkan rakyat bergerak jauh ke depan bersama Pakatan Harapan meninggalkan pola pengundian tradisi yang memilih parti kepada isu rakyat. Besar harapan daripada rakyat ialah untuk melihat perubahan pada sistem dan kepimpinan negara supaya Malaysia dapat diselamatkan.

Pakatan Harapan akan memastikan bahawa tiada lagi pimpinan yang merompak kekayaan negara, membiarkan khazanah negara diambil untuk golongan elit penguasa, memperkayakan diri, keluarga dan kroni mereka.

Inilah tekad kami bersama dengan rakyat menjelang tahun baru masihi 2018, mudah-mudahan kuasa rakyat ini dapat diterjemahkan di peti undi dalam pilihan raya umum yang bakal menjelang tiba.

Selamat Tahun Baru 2018!

*Dato' Saifuddin Nasution Ismail*
Setiausaha Agung
Parti KEADILAN Rakyat

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...