TERKINI :

Saturday, November 11, 2017

Pendang - 12 rumah rosak dilanda angin puting beliung

 ribut
PENDANG - Kira-kira 12 rumah di Kampung Alor Ali dan Kampung Rambai di sini rosak teruk selepas dilanda angin puting beliung, petang tadi.

Kejadian kira-kira 6 petang itu menyebabkan kebanyakan bumbung rumah terbabit tercabut dan diterbangkan angin ke kawasan bendang berhampiran akibat pusaran angin yang kuat disusuli hujan lebat selama 10 minit.

Exco Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Alor Ali Ahmad Shukri Omar berkata, rumah yang rosak itu membabitkan enam rumah di Kampung Alor Ali manakala selebihnya di kampung bersebelahan iaitu Kampung Rambai.

Beliau berkata, sebelum menghampiri kampung berkenaan pusaran angin itu menarik air di dalam bendang ke atas sebelum bergerak membadai perkampungan itu.

"Buat masa ini, saya jadikan rumah saya sebagai penempatan sementara bagi menempatkan kesemua mangsa sebelum tindakan lanjut daripada pihak berwajib," katanya kepada Bernama malam ini.

Seorang mangsa Che Haminah Awang, 67, yang juga ibu tunggal berkata kejadian itu merupakan kali pertama berlaku sejak dia menetap di kampung itu lebih 50 tahun lepas.

Katanya angin kuat yang datang itu dengan begitu pantas hingga menyebabkan bumbung rumahnya tercabut sebelum diterbangkan ke rumah jiran berhampiran.

"Angin sangat kuat sehingga saya dan dua orang cucu terpaksa lari menyelamatkan diri keluar dari rumah bagi mengelak dihempap kayu bumbung,” katanya.

Che Haminah berkata, berikutan kejadian itu dia mengalami kerugian ribuan ringgit apabila kelengkapan rumah seperti televisyen, almari baju, mesin basuh dan peralatan elektrik rosak.

Seorang lagi mangsa Norlijam Sari Hussin, 40, berkata, ketika kejadian dia bersama beberapa jiran yang datang berkunjung ke rumahnya pada waktu itu terpaksa berlindung di dalam rumahnya itu dan hanya mampu melaungkan azan dalam keadaan cemas bagi meredakan keadaan itu.

"Kami tidak pernah alami perasaan sebegini sebelum ini di mana angin itu kelihatan ‘ganas’ sehingga menggegarkan rumah dan mencabut bumbung rumah dengan sekelip mata,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM) Pendang Sarjan Fairol Azhar Mohd Arshad berkata, lapan anggota APM bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat orang awam berhubung kejadian itu pada 6.30 petang.

"Kami membantu mengalihkan perabot dan peralatan rumah penduduk...syukur tiada penduduk yang tercedera dalam kejadian tersebut," katanya.- Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...