TERKINI :

Sunday, November 12, 2017

MAJLIS EKSEKUTIF KFA TOLAK SARANAN MB KEDAH MELETAK JAWATAN SEBAGAI PRESIDEN

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH DARUL AMAN
12 NOVEMBER 2017

1. Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) telah mengadakan satu Mesyuarat Khas bagi membincangkan isu-isu semasa berkenaan maklumbalas dari cadangan dan desakan oleh beberapa pihak terdiri dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pemuda Umno Negeri Kedah supaya Menteri Besar Kedah merangkap Presiden KFA, YAB Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Bin Md. Hanipah meletak jawatan sebagai Presiden KFA.

2. Ahli Majlis Eksekutif KFA telah berbincang isu tersebut secara mendalam dan telah bersetuju sebulat suara bahawa barisan kepimpinan KFA melalui Ahli Majlis Eksekutif memohon supaya jawatan Presiden KFA yang disandang YAB Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Bin Md. Hanipah wajib DIKEKALKAN.

3. Ahli Majlis Eksekutif berpendapat sumbangan dan komitmen Beliau sebagai Presiden KFA menerusi pelbagai bentuk sokongan terutamanya aspek kewangan, tajaan pihak swasta dan penyediaan kemudahan infrastruktur latihan pasukan antara kesan dan kepentingan YAB Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Bin Md. Hanipah  perlu mengekalkan jawatan sebagai Presiden KFA.

4.  KFA juga ketika ini dalam proses melakukan persediaan pasukan Kedah bagi mengharungi musim 2018, peralihan kuasa pengurusan pada ketika ini dianggap tidak sesuai memandangkan komitmen yang telah diberi sejak 2 tahun lepas.

5. Berkenaan tular isu rasuah yang digembar-gemburkan pihak media, pihak KFA berasa kesal dengan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan tuduhan tanpa sebarang bukti dan tidak mengikut saluran yang betul. Jika pihak terbabit mempunyai bukti, pihak KFA menyarankan laporan dilakukan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan susulan. Dengan prestasi pasukan musim ini yang sentiasa mempamerkan aksi terbaik dan menggapai beberapa kejuaraan, tuduhan tidak berasas ini patut dihentikan untuk menjaga imej bolasepak pasukan Kedah dan juga maruah setiap pemain yang bernaung dibawah KFA.

6. Berkenaan isu sorakan terhadap YAB Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Bin Md. Hanipah ketika aksi perlawanan akhir TM Piala Malaysia Sabtu lepas di Stadium Shah Alam, pihak KFA kesal dengan situasi yang berlaku tambahan pula berlaku dihadapan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan menegaskan supaya budaya menghormati pemimpin perlu diberi perhatian supaya sukan bolasepak alat perpaduan bukan perpecahan.

7. Ahli Majlis Eksekutif KFA merakamkan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan tertinggi diterajui YAB Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Bin Md. Hanipah dan barisan kepimpinan Ahli Majlis Eksekutif, pengurusan pasukan, para pemain, para penyokong di atas kejayaan pasukan Kedah musim ini dengan menjuarai Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan Piala FA. Selain itu KFA juga berjaya menggondol kejuaraan Piala Belia oleh skuad Kedah Bawah 19 tahun dan juga skuad Bolasepak Wanita Kedah menjuarai Liga Bolasepak Rakyat Wanita dan naib juara Piala Tun Sharifah Rodziah.

8. KFA sentiasa berusaha untuk melakukan transformasi dan penambahbaikan dari segi aspek pengurusan dalam semua sudut, kesannya dapat dilihat dari sistem penyampaian dan prestasi pasukan kini berada di landasan tepat sebagai pasukan elit dalam bolasepak Malaysia. KFA juga mengharapkan penyokong pasukan Kedah sentiasa memberi sokongan kepada pihak pengurusan KFA dengan turut bersama-sama memainkan peranan masing-masing bagi kemajuan bolasepak negeri Kedah.

Sekian.

Kenyataan media oleh,

Dato' Paduka Haji Syed Unan Mashri Bin Syed Abdullah
TIMBALAN PRESIDEN KFA

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...