TERKINI :

Monday, November 13, 2017

LARANGAN PEMAKAIAN TUDUNG DALAM INDUSTRI PERHOTELAN ADALAH AMALAN LAPUK SERTA BERTENTANGAN PERKEMBANGAN SEMASA

Kenyataan Media
13 November 2017

http://4.bp.blogspot.com/-Rd0r6wr6y3Y/VPaL79a5vlI/AAAAAAAABJw/rPzxJo3QdLU/s1600/DSC_0012.JPG

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkaitan dengan larangan berkait pemakaian tudung untuk wanita Islam yang ingin bekerja di 'front line desk' hotel-hotel di Malaysia. ABIM menilai kenyataan tersebut secara jelas menafikan hak kebebasan mengamalkan agama dan terang-terangan bertentangan dengan peruntukan Perkara 5 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius sebarang isu diskriminasi wanita di tempat kerja. Tambahan pula ia cuba dijustifikasikan atas standard dan polisi antarabangsa. Persoalan yang berikut timbul daripada polemik ini:-
1. Bagaimanakah sesebuah hotel boleh beroperasi dengan menggunakan SOP yang jelas bercanggah dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan?

2. Sejelas manakah Indeks Syariah yang diwar-warkan menjadi rujukan dalam industry perhotelan di negara ini taktala dikatakan wujud SOP untuk sesebuah hotel menghalang pekerja atau pelatih mengenakan tudung di kaunter khidmat pelanggan (frontdesk)?

3. Apakah ruang yang diberikan untuk para pekerja atau pelatih wanita Muslim untuk menyuarakan hak mereka secara rasmi? Apakah wujud penafian mahupun larangan untuk mereka menyuarakan aduan melalui saluran rasmi hatta melalui kesatuan mahupun NGO pekerja?

4. Apakah konsep Hotel Patuh Syariah yang cuba diterapkan sebagai contoh Kumpulan Hotel De Palma (mulai tahun 2008) tidak menepati standard serta piawaian antarabangsa mulai tahun tersebut mahupun menjejaskan kualiti industri perhotelan dan pelancongan negara?

Dengan itu ABIM menggesa agar pihak-pihak berkuasa berkenaan seperti Kementerian Wanita dan Kebajikan Masyarakat serta Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sumber Manusia mengeluarkan kenyataan rasminya berhubung isu ini. Masyarakat memerlukan rujukan mahupun makluman dasar rasmi berhubung isu ini memandangkan ia menyentuh sensitiviti beragama dan hak asasi manusia dalam industri yang cuba mengangkat imej negara di mata dunia.

Amalan bertudung bukanlah suatu amalan yang asing hatta di peringkat antarabangsa yang meraikan sumbangan para tokoh serta professional wanita Muslim dalam pelbagai lapangan. Jangan sampai polemik ini menjejaskan nama baik negara serta industri pelancongan yang integral dengan perkembangan sejagat.

Atas dasar ini, ABIM juga menyeru agar kesemua pendokong hak asasi manusia dan wanita untuk sama-sama memperjuang isu ini secara serius di peringkat nasional sehingga antarabangsa. Larangan pemakaian tudung adalah isu lapuk yang perlu ditentang bukan sahaja dalam kalangan industri perhotelan, hatta dalam setiap lapangan pekerjaan serta industri sekalipun.

Nor Azura Kamarudin Sohami
Naib Presiden (HELWA)
Angkatan Belia Islam Malaysia

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...