TERKINI :

Saturday, November 11, 2017

KBAT: Guru hanya jadi ‘kambing hitam’

Nurul Izzah Anwar
SHAH ALAM - Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam sistem pendidikan awal Malaysia perlu dilihat semula dengan membuat tindakan susulan agar tidak terus menjadi kucar-kacir.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, kegagalan ini menjadikan guru sebagai kambing hitam apabila sejumlah 169 daripada 282 sekolah yang dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (bersamaan 60 peratus), hanya mencapai tahap ‘gagal’ atau ‘memuaskan’ hasil pemeriksaan penarafan amalan terbaik KBAT.

“Perlu kita ingat, jumlah populasi kajian sebanyak 282, hanyalah sekelumit daripada bilangan keseluruhan 10,180 sekolah di Malaysia pada penghujung Julai 2016.

“Sebelum kita sibuk menyalahkan pihak guru tentang statistik ini, adalah wajar jika kita dapat meneliti implementasi sistem KBAT ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, naratif yang dicanang Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan mempamerkan kegusaran kementerian bahawa guru-guru kita masih belum bersedia sepenuhnya untuk sistem pendidikan berasaskan KBAT.

“Apa yang kita inginkan, agar para guru dan pelajar kita dapat berubah; daripada pendekatan berasaskan penghafalan teori dan konsep semata-mata, kepada proses pembelajaran yang berlandaskan pemikiran terbuka, kritis dan penuh aplikasi.

“Tetapi, langkah Kementerian selepas pembentangan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 kurang jelas terutamanya dalam memandu para guru dan pelajar ke arah gaya pemikiran yang baru,” katanya.

Ujarnya, tidak mudah bagi membiasakan barisan guru yang komited dan pelajar yang sudah terlalu terbiasa dengan cara pembelajaran lama.

“Anjakan yang digesa kementerian adalah terlalu mendadak, dan masih membelenggu tenaga pengajar sehingga hari ini.

“Bukankah lebih baik jika kementerian menjalankan kajian segenap negara, sebelum mendesak perubahan pola pembelajaran yang mengejut?” soalnya.

Nurul Izzah berkata, tugasan guru yang seharusnya tertumpu pada perkongsian ilmu dengan anak-anak, kian ditokok tambah dengan beban kerja yang berterusan.

“Tugas pentadbiran, pengisian laporan dan data atas talian, penganjuran aktiviti sekolah, penyertaan kursus dan latihan yang keterlaluan semakin menekan para pendidik.

“Sehinggakan tugas hakiki sebagai pengajar yang mencambah minda pelajar tidak dapat dijalankan dengan lancar,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai ini juga turut risau dengan kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan (NUTP) mengenai beban tugas guru dan polisi pendidikan negara yang kerap berubah saban tahun, langsung diabaikan kementerian berwajib.

“Adakah kementerian lupa, para guru adalah insan paling tepat untuk menilai keberkesanan satu-satu inisiatif pendidikan?

“Mereka jualah yang bertemu para pelajar setiap hari, ibarat ibu bapa kedua bagi anak-anak yang masih bersekolah.

“Saya menyarankan pihak kementerian lebih proaktif dalam isu keberkesanan pembelajaran berdasarkan KBAT,” katanya.

Tambahnya, di sebalik tudingan jari yang tidak putus-putus ke arah para guru, dengarilah rintihan mereka tentang kaedah dan cara pelaksanaannya yang mengelirukan dan membebankan.

“Latihan dan kursus yang berterusan mungkin tampak ideal pada Timbalan Menteri Pendidikan dan kementerian, namun jangan sekali-kali alpa terhadap kebajikan para pendidik dan kesesuaian inisiatif KBAT terhadap populasi pelajar yang pelbagai.

“Di saat kementerian mendukung visi sistem pembelajaran moden seperti kelompok negara dunia pertama, masih ramai yang sengsara dengan akses kepada pendidikan asas seperti membaca dan mengira,” katanya yang mahu para guru perlu dilibatkan sewajibnya di dalam setiap pelan yang dibawa Kementerian Pendidikan.

Katanya lagi, sekolah harus mengutamakan kualiti pendidikan asas, di samping mengubah gaya pembelajaran baru dan mewujudkan fasa-fasa transisi yang jelas dan mudah diikuti, tanpa menambah beban mana-mana pihak.

“Usahlah sakiti para guru dan pendidik dengan rasa bersalah yang tak putus-putus. Mereka yang patutnya disanjung sebagai wira tauladan, semakin terpalit dengan caci-maki dan ancaman.

“Tingkatkan sistem pendidikan kita ke arah kemakmuran berterusan Malaysia, bukan untuk dijadikan mainan politik dan populariti semata,” katanya

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...