TERKINI :

Friday, November 24, 2017

Jangan buang masa guna sistem usang, laksana daftar pemilih automatik

Kerajaan BN khususnya ketua menteri Melaka dinasihati agar tidak membuang masa dan wang ringgit untuk mendaftar pemilih baru sebaliknya menggunakan masa dan kos yang ada untuk menambahbaik sistem pilihan raya.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Idris Haron berhubung 69,453 warganegara yang layak mengundi dan bermastautin di Melaka yang didapati masih tidak mendaftar sebagai pemilih, Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya sudah lama mencadangkan mekanisme pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan.

Namun katanya, kerajaan BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap berdegil mahu mengekalkan sistem pendaftaran manual yang usang ini.

“Pelbagai alasan yang tidak logik diberikan. Sedangkan kerajaan melaung-laungkan untuk mengapplikasikan IT dan online sepenuhnya.

“Sepatutnya tiada masalah untuk melaksanakan pendaftaran automatik kerana Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai pangkalan data yang lengkap untuk dihubungkan dengan SPR bagi mendaftarkan rakyat yang genap umurnya 21 tahun ke atas sebagai pemilih yang sah,” ujar beliau.


Bercakap kepada pemberita, Idris berkata bagi memastikan penjawat awam melaksanakan tangungjawab sebagai pemilih, sekretariat pilihan raya di peringkat kementerian dan pejabat setiausaha kerajaan negeri termasuk di Melaka diwujudkan.

Sekretariat itu, katanya berperanan menggalakkan penjawat awam di peringkat negeri dan Persekutuan untuk mendaftar sebagai pemilih serta menukar alamat kad pengenalan dan tempat mengundi berdasarkan alamat bermastautin yang terkini.

Menurut Idris, pelbagai program sedang dijalankan oleh SPR untuk meningkatkan kadar pendaftaran pemilih di negeri itu dan antara pendekatan diambil termasuk mengadakan program pendidikan pengundi.

Hasilnya, tambah beliau Melaka mencatatkan kadar peratusan warganegara belum mendaftar sebagai pemilih antara terendah iaitu pada kadar 12.5 peratus.

Mengulas lanjut, Sofi menasihati kerajaan dan agensinya agar tidak menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit untuk mencari dan mendaftarkan rakyat sebagai pemilih sebagaimana dicadangkan Idris.

SPR sendiri, kata Sofi tidak perlu menghabiskan masa dan kos yang tinggi untuk pendaftaran pemilih sebaliknya masa dan kos itu perlu digunakan untuk penambahbaikkan sistem pilihan raya.

“Di sini saya sekali lagi menegaskan supaya kerajaan dan SPR melaksanakan sistem pendaftaran automatik seberapa segera supaya 100% rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas layak untuk menjadi pemilih berdaftar menjelang PRU 14 nanti.

“Sekarang adalah masa terbaik bagi SPR dan kerajaan untuk membuktikan ketelusan dan komitmen mereka kepada rakyat dalam hal pendaftaran pemilih ini,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...