TERKINI :

Wednesday, November 8, 2017

Henti operasi Petronas keringkan dana tentera Myanmar

 ARIF ATAN

Ekoran pendekatan diplomasi yang masih tidak menunjukkan hasil positif, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berhasrat untuk mengemukakan petisyen mendesak Petronas menghentikan operasi di Myanmar.

Aktivis Kempen Antarabangsa Untuk Rohingya, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi berkata, tindakan itu dilihat paling wajar disegerakan sebagai isyarat protes memerangi keganasan ke atas etnik Rohingya.

“Kita usaha secara baik dan berunding sebelum ini tetapi tidak berhasil. Jadi, lebih baik sekarang kita keringkan dana tentera Myanmar dengan cara menarik keluar pelaburan atau perniagaan masing-masing dari negara itu.

“Setiap urus niaga oleh konglomerat yang beretika tidak harus dibiar berlaku atas percikan darah orang lain,” tegasnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Tengku Emma Zuriana di kem pelarian etnik Rohingya dekat Bangladesh baru-baru ini.

Menurutnya, syarikat milik Malaysia yang melabur di Myanmar boleh memainkan peranan membawa keluar perniagaan masing-masing.

“Memandangkan Petronas adalah konglomerat terbesar di Malaysia, jadi langkah pertama untuk berbuat demikian harus dimulakan oleh Petronas terlebih dahulu.

“Ahli-ahli perniagaan Malaysia tidak harus menyokong jenayah pembersihan etnik di Rakhine. Pembunuhan dan penghijrahan ke Bangladesh masih terus berlaku sehingga negara itu bercadang untuk menghantar semula pelarian Rohingya ke Myanmar.

“Tindakan itu samalah seperti menghantar mereka untuk ‘disembelih’ kerana tiada jaminan keselamatan untuk etnik Rohingya,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana NGO untuk turut serta dalam bantahan tersebut dengan menandatangani petisyen yang akan diserahkan kepada Myanmar dalam masa terdekat.

“Saya mahu lebih ramai NGO bersama dalam inisiatif ini kerana mungkin ini menjadi titik mula untuk kita hentikan tangisan dan penderitaan etnik Rohingya.

“Kita memerlukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menandatangani petisyen ini dan kita akan bentangkan di Parlimen,” tambahnya lagi yang boleh dihubungi di 012-4131809.

Untuk rekod, Petronas menerusi Petronas Carigali Myanmar II Inc. diberi tanggungjawab untuk memajukan sejumlah kawasan cari gali minyak di luar pantai Myanmar.

Penglibatan Petronas dalam Projek Gas Yetagun bermula pada tahun 1997 lagi apabila ia mengambil 30 peratus kepentingan projek daripada Texaco Inc.

Gas dari projek Yetagun mula dikeluarkan pada Mei 2000 kepada Petroleum Authority of Thailand menerusi saluran paip merentasi sempadan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...