TERKINI :

Saturday, November 4, 2017

Final Piala Malaysia 2017 - Kedah harap tuah Stadium Shah Alam

Kedah harap tuah Stadium Shah Alam
JUARA bertahan, Kedah mengharapkan tuah beraksi di Stadium Shah Alam menyebelahi mereka sekali lagi ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017, malam esok.

Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata selepas melakar kejayaan menewaskan Selangor pada edisi lepas dan menjuarai Piala FA musim ini di venue itu, keputusan sama diharap dapat dicatat ke atas skuad Harimau Selatan pada pertembungan esok.

“Ini adalah kali ketiga berturut-turut Kedah berjaya sampai ke perlawanan akhir di stadium yang sama, jadi kita mengharapkan tuah yang sama seperti tahun lalu,” katanya pada sidang media perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam di sini, hari ini.

Bagaimanapun, pengendali berusia 49 tahun itu mengakui pasukannya bakal berdepan ujian getir dalam mengekang asakan JDT, namun ketiadaan tonggak pertahanan pasukan lawan Marcos Antonio yang mengalami kecederaan lutut dilihat memberi sedikit kelebihan.

“Kelebihan itu kita akan cuba gunakan sebaiknya tetapi jika dilihat pada barisan tengah dan serangan pasukan lawan, mereka memang sangat baik.

Jika kita lihat statistik gol sepanjang musim ini, mereka mempunyai rekod yang sangat baik. Oleh itu final kali ini kami memikul tanggungjawab yang lebih berat,” kata beliau.

Sementara itu, Kapten Skuad Lang Merah, Khairul Helmi Johari menggesa rakan sepasukan untuk memberikan yang terbaik dalam memastikan Piala Malaysia terus kekal berada di Kedah.

“Kita sudah berdepan JDT dua kali pada musim ini dan ia merupakan aksi yang seimbang. Sudah pasti final kali ini kami mahukan kemenangan tetapi bila bercakap soal final, hanya pasukan terbaik yang akan menang.

Jadi saya mengharapkan semua pemain tidak kira yang bermain ataupun di bangku simpanan dapat memberikan sepenuh komitmen pada malam final esok,” katanya. – Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...