TERKINI :

Thursday, November 2, 2017

DATUK SRI NAJIB RAZAK PERLU JAWAB PEMBELAAN CLARE BROWN DENGAN MENJADI PENCELAH DALAM SAMAN PRESIDEN PAS


1. Begitu mengejutkan meneliti pendedahan fakta oleh Clare Brown dalam Pembelaan dan Tuntutan Balas terhadap Saman yang dikemukakan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Mahkamah Tinggi London susulan suatu artikel yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin kanan PAS untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional seperti disiarkan Sarawak Report sekitar Ogos 2016.

2. Pembelaan Clare tersebut mendedahkan beberapa fakta yang terperinci berkaitan pembayaran jutaan ringgit kepada pemimpin kanan PAS oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak. Antaranya, sejumlah RM200 juta kepada bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa termasuk wang hasil penyelewengan 1MDB dan  pemilikan aset-aset mewah hartanah dan kenderaan oleh 10 orang pemimpin kanan PAS yang lain. Clare mendakwa jumlah tersebut sebagai sogokan untuk PAS berpecah daripada Pakatan Rakyat. Dakwaan ini adalah serius dan seharusnya SPRM menjalankan siasatan segera kerana ia melibatkan jenayah rasuah dan penyelewengan dana awam di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

3. Di samping itu, intipati substantif Pembelaan tersebut menjurus kepada pendedahan salahlaku jenayah korupsi dan salahguna kuasa oleh Najib Razak termasuk skandal 1MDB, urusniaga kapal selam Scorpene, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan pendakwaan politik kes sodomi Anwar Ibrahim bagi menunjukkan betapa korupnya Najib Razak. PAS adalah antara umpan Najib Razak bagi mengekalkan kuasa politik beliau dengan menyogok wang jutaan ringgit. Perpecahan dalam parti Islam tersebut serta Pakatan Rakyat dilihat sebagai kejayaan permainan licik politik Najib Razak dan UMNO.

4. Oleh kerana salahlaku jenayah Najib Razak didedahkan secara terperinci di dalam Pembelaan tersebut yang telah mencemar nama baik negara selaku Perdana Menteri, Najib Razak seharusnya melantik peguam untuk memohon sebagai Pencelah dalam Saman oleh Presiden PAS tersebut bagi menjawab segala dakwaan Clare tersebut kerana beliau adalah pihak yang terkilan dan mempunyai kepentingan di dalam kes tersebut serta bagi membersihkan nama negara.

5. Ini adalah kerana Pembelaan adalah dokumen mahkamah yang bersifat dokumen awam yang boleh diakses oleh mana-mana individu di seluruh dunia. Perdana Menteri seharusnya mengambil langkah berani mempertahankan nama baik dan maruah negara atas premis integriti dan akauntabiliti.

FAIZ FADZIL
TIMBALAN KETUA PEMUDA AMANAH

2 NOVEMBER 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...