TERKINI :

Saturday, November 4, 2017

Dakwa aktiviti pembalakan di kawasan Gunung Inas punca banjir lumpur

Dakwa aktiviti pembalakan punca banjir lumpur
KULIM - Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa kejadian banjir lumpur yang melanda di Kampung Ulu Mahang dan Mahang Luar baru-baru ini berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan Gunung Inas.

Pegawai Luar SAM, Zulkifli Yusuf berkata pihaknya telah membuat tinjauannya ke lokasi tersebut dan mendapati punca banjir lumpur adalah disebabkan aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan Gunung Inas berdekatan.

Menurutnya, aktiviti itu menyebabkan kawasan tadahan air musnah dan memberi pelbagai masalah termasuk merugikan harta benda, serta mengancam nyawa penduduk kerana arus sungai akan mengalir dengan laju dan deras.

"Sebelum ini kita telah ke lokasi dan menjangkakan pelbagai masalah akan timbul, jadi apabila banjir lumpur berlaku saya percaya ia disebabkan aktiviti pembalakan di kawasan gunung di situ.

"Bila berlaku hujan, air dari bukit turun dengan laju, air sungai juga menjadi deras kita bimbang keselamatan penduduk terutama kanak-kanak terancam, malah akan berlaku banjir sehingga menyebabkan kerugian harta benda penduduk di kawasan tersebut.

"Kita jangka jika aktiviti ini terus berlaku dalam tempoh beberapa tahun lagi sungai akan menjadi semakin cetek dan tercemar teruk, kualiti air juga terjejas,"katanya kepada Sinar Harian.

Malah, beliau turut berkata kewujudan kuari pasir di sungai berdekatan juga akan menambah masalah kepada penduduk di kawasan tersebut.

"Bukan setakat aktiviti balak ditambah pula dengan kewujudan kuari pasir ia juga memberi kesan buruk kepada penduduk di situ.

"Air sungai menjadi cetek dan tebing menjadi semakin luas, selain sistem saliran untuk pengairan sawah padi juga tersumbat, ia merugikan pengusaha sawah," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan 12 rumah telah terjejas teruk akibat dilanda banjir lumpur yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pembalakan yang dijalankan di bukit berdekatan.

Dalam pada itu, Zulkifli berpendapat pihak terlibat sama ada pengusaha balak atau kerajaan negeri perlu memberi pampasan yang setimpal kepada mangsa terjejas akibat banjir lumpur.

"Saya telah pergi temui mangsa banjir lumpur itu kebanyakan mereka mengalami kerugian RM1,000 hingga RM5,000, selain emosi juga terganggu," katanya.

Tambahnya, pihak badan kerajaan yang bertanggungjawab juga digesa turun padang memantau aktiviti berkenaan dan mengambil tindakan segera.

"Saya gesa pihak terlibat termasuk kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Hutan dan Jabatan Pertanian segera turun padang dan ambil tindakan menghentikan segera aktiviti-aktiviti yang merosakkan alam sekitar dan sungai tersebut," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...