TERKINI :

Thursday, November 30, 2017

Apabila Utusan dapat kontrak tablet sekolah bernilai RM340 juta

FMT Reporters


KUALA LUMPUR: Penerbit akhbar harian Umno, Utusan Melayu diberikan kontrak untuk membekalkan lebih 180,000 tablet kepada guru di seluruh negara tahun ini, dan setakat ini menelan belanja RM152 juta, menurut Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.

Kamalanathan berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim di Dewan Rakyat minggu lalu, berkenaan projek tablet itu yang diperuntukkan pada Bajet 2017 yang dijangka menelan kos keseluruhan RM340 juta.

“Bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang mengalami kerugian tiap-tiap tahun boleh diberi kontrak RM340 juta membekalkan komputer tablet?” soal Sim, merujuk syarikat akhbar itu yang mencetak Utusan Malaysia.

Menurutnya, syarikat akhbar itu mencatatkan kerugian sejak 4 tahun lalu, dengan jumlah kerugian mencecah hampir RM220 juta sejak 2013.

Sim turut memetik laporan Biro Audit Pengedaran pada Mei lepas yang mendapati kejatuhan pengedaran Utusan Malaysia sebanyak 14% ataupun lebih 20,000 naskah, manakala edisi Ahad, Mingguan Malaysia pula merosot sebanyak 10% ataupun lebih 30,000 naskah.

Menurutnya, pemberian kontrak membekalkan tablet itu merupakan “talian hayat” kerajaan kepada akhbar itu.

Beliau turut mempersoalkan ketiadaan tender terbuka untuk projek itu.

“Ini membuktikan bahawa sehingga kini menjelang PRU ke-14, Umno-BN tidak pernah dan tidak berhasrat untuk berubah.

“Pentadbiran Umno-BN tetap berpaksikan 3K iaitu, korupsi, kronisme, kleptokrasi,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...