TERKINI :

Monday, November 13, 2017

Apa salah bertudung, peguam persoal dasar untuk pekerja hotel

FMT Reporters | November 13, 2017

Art-Harun-hotel
Ia bertitik tolak daripada sikap 'Islamofobia' dan melanggar dasar antarabangsa mengenai diskriminasi, kata Art Harun

Art-Harun-hotelPETALING JAYA: Peguam dan pengulas politik Azhar Harun menimbang mengenai isu wanita Islam yang dilarang memakai tudung ketika bekerja di hotel dengan berkata ia adalah “kesan Islamofobia”.

Menurutnya, dasar itu “diskriminasi berdasarkan agama dan jantina”.

“Tidak menjadi hal jika hotel mengikuti prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa, tapi mengapa wanita tidak boleh bertudung ketika bertugas sebagai kakitangan barisan depan di hotel antarabangsa?” soalnya mengenai SOP yang diamalkan oleh sebuah hotel terkemuka.

Azhar yang lebih dikenali sebagai Art juga mempersoalkan rasional di sebalik dasar hotel itu.

“Adakah mereka tidak cukup berpenampilan kemas jika memakai tudung? Adakah tudung menjejaskan keupayaan mereka melayani pelanggan hotel?

“Adakah mereka tidak mesra jika memakai tudung?” soalnya sambil menambah beliau faham jika larangan itu untuk wanita yang berpurdah.

“Tetapi kenapa tudung?” soalnya lagi.

Isu tersebut dibangkitkan dalam laporan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, beliau menerima aduan daripada pekerja hotel berhubung larangan memakai tudung di tempat kerja.

Ia disusuli seorang aktivis Dr Rafidah Hanim Mokhtar mengecam dasar itu kerana bertentangan dengan status Islam sebagai agama Persekutuan.

“Tiada penjelasan munasabah mengapa tudung dilarang dalam persekitaran kerja mereka.

“Hanya kerana berada di sektor swasta tidak mengecualikan hotel itu menghormati hak seseorang untuk mengamalkan ajaran agama mereka,” katanya sambil menambah hujah itu juga boleh terpakai kepada Malaysia Airlines.

“Hakikatnya kru penerbangan bertudung melayani penumpang semasa musim haji dalam penerbangan ke Mekah adalah bukti bertudung bukan faktor ketidakcekapan,” kata Rafidah.

Art menggesa sektor swasta supaya tidak mengamalkan diskriminasi apabila mengenakan dasar sedemikian walaupun mereka tidak melanggar undang-undang.

“Saya sedar larangan Perlembagaan Persekutuan terhadap diskriminasi hanya terpakai kepada undang-undang dan pihak berkuasa awam.

“Bagaimanapun, trend seluruh dunia dalam milenium ini adalah sektor swasta juga sepatutnya mengamalkan semangat Perlembagaan yang mana mereka dengan lantang menuntut negeri berbuat demikian.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...