TERKINI :

Saturday, November 11, 2017

Adakah kedudukan Islam dan orang Melayu terpinggir di bawah Pakatan Harapan?

SHAMSUL MA'ARIF HJ ISMAIL



Kerap kali dan sering kali akhbar murahan prokerajaan BN memainkan sentimen murahan dengan menyebut bahawa Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan rapuh yang dipimpin oleh DAP atau Lim Kit Siang.

Tuduhan dan permainan psi war oleh pihak tertentu sengaja mahu mencalarkan reputasi PH. Setiap hari naratif ini dibawa bukan hanya oleh media tertentu propemerintah malah menjadi zikir yang berulang-ulang dalam ucapan pemimpin tertentu demi menanam rasa takut, benci dan marah terhadap PH yang kononnya diterajui oleh kaum Cina.

Biarpun sudah dinafikan berkali-kali oleh pimpinan PH namun ia terus diulang-ulang sehingga ramai pengundi Melayu telah “beriman” dengan tuduhan seperti ini. Jelas mesej yang disampaikan ini berniat jahat dan cuba menghakis kepercayaan kaum Melayu khasnya dan umat Islam secara amnya.

Sebenarnya PH yang dianggotai oleh empat parti besar dalam negara terdiri daripada Keadilan, Amanah, Bersatu dan DAP telahpun menandatangani satu dokumen perjanjian PH yang meletakkan syarat-syarat penting yang menjamin kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pada akhir tahun 2016.

Perjanjian atau dokumen bertulis ini juga telah menyatakan dengan sangat jelas iaitu memelihara dan mempertahankan kedudukan dan keistimewaan Raja-Raja Melayu, memelihara Bahasa Melayu serta menjamin hak keistimewaan Bumiputera seperti termaktub di dalam perlembagaan.

Meskipun ia telah ditandatangani pada akhir 2016 media umum masih memainkan sentimen palsu dan murahan menuduh bahawa PH akan dipimpin oleh bangsa Cina dan Yb Lim Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri.

Hal ini sudah dinafikan oleh Yb Lim bahawa beliau tidak bercita-cita langsung pun untuk menjawat jawatan PM. Apatah lagi umum mengetahui bahawa Ketua Umum PH adalah DS Anwar Ibrahim yang akan dibebaskan pada pertengahan 2018, Pengerusinya Tun Dr. Mahathir Mohamed, Presidennya DS Wan Azizah Wan Ismail serta Naib-Naibnya majoritinya beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Melihat kepada komposisi kaum Melayu dan Bumiputera dalam keanggotaan PH ternyata kaum Melayu beragama Islam menjadi majoriti sebagai Ahli Parlimen jika digabungkan daripada tiga parti utama iaitu Keadilan, Amanah dan Bersatu. DAP juga memberikan peluang kepada kaum Melayu untuk menjadi dan bertanding atas tiket DAP jika layak. Jika dilihat siapa lebih cauvinis Cina sudah tentu MCA lebih lagi dibandingkan dengan DAP.

Umum juga mengetahui tuduhan bahawa DAP adalah prokomunis juga masih dilaung-laungkan setiap hari tanpa bukti yang kukuh dan sah seolah-olah negara masih di tahun 60’an.

Dengan dua isu utama yang dimainkan oleh mereka iaitu kedudukan agama Islam yang akan terhakis dan PM nanti daripada kaum Cina sudah cukup untuk menakutkan pengundi Melayu luar bandar yang tidak terdedah kepada fakta sebenar.

Permainan emosi yang ditiup bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu akan tergugat dan kononnya negara ini akan menghakis kuasa Raja-Raja Melayu sudah cukup menggerunkan para pengundi Melayu tegar. Walhal semua ini adalah palsu belaka dan berunsurkan fitnah.

Sebenarnya pemimpin Melayu dan beragama Islam dalam PH adalah lebih setia terhadap negara dan dengan seluruh asas dan dasar negara tercinta. Perjuangan mengangkat kedudukan agama Islam sebagai dasar negara dan usaha memartabatkan perundangan syariah akan terus diperlihara, dipertahan dan diperjuangkan.

Cuma isunya hari ini ialah sebelum semua ini boleh dilakukan dengan jayanya akan berlaku hanya senya apabila seluruh institusi negara melalui satu reformasi atau islah.

Semua institusi negara yang utama seperti SPR, SPRM, Bank Negara, Jabatan Kehakiman dan Peguam Negara mestilah bebas daripada pengarahan politik yang mengganggu kebebasan dan kewibawaan mereka. Semua institusi negara mestilah bersih daripada cengkaman kuasa yang mempunyai agenda peribadi sang penguasa.

Negara yang bebas kezaliman ini sahaja yang akan dapat menjadikan sistem kebenaran itu dapat berfungsi dengan sihat. Kuasa Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman mestilah adil dan bebas daripada sebarang campur tangan mahupun tekanan politik murahan.

Dengan pembersihan dan reformasi institusi utama negara barulah seluruh agenda mengangkat martabat bangsa dan agama boleh dilakukan dengan penuh adil dan jujur serta bebas rasuah. Bangsa yang bebas rasuah dan cengkaman kuasa yang zalim akan dapat memajukan dirinya dalam tempoh yang sangat singkat.

Ia akan berjaya membetulkan seluruh sistem pentadbiran negara apabila kerajaan mendengar nasihat daripada pakar yang betul dan akan menarik kepercayaan para pelabur asing yang mahu berniaga di sebuah negara yang jujur, telus serta berintegriti tinggi.

Apa yang pasti pada hari ini penglibatan para ilmuan Islam, tokoh ulamak, teknokrat dan para pejuang kebenaran telah berpusu-pusu bersama perjuangan PH bagi mengangkat dan melakukan perubahan ke arah kebaikan. Perjuangan ini telah dan terus menarik ramai para pejuang Islah untuk bersama menjayakan agenda Rahmatan Lil Alamin.

Semua ini boleh menjadi kenyataan jika rakyat merasa aman dan tenteram dengan dasar dan perjuangan hakiki PH yang pastinya akan menjaga dengan teguh janji menjaga kedudukan agama Islam dan berusaha memartabatkan bangsa Malaysia berteraskan syariah dan maqasidnya. Moga usaha PH akan diterima baik rakyat dan mereka akan menilai dengan kaca mata yang bersih.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...