TERKINI :

Friday, October 27, 2017

"YB HARUMANIS" - Pas Pusat didakwa bimbang jumlah kerusi merosot jika memecat mereka

https://1.bp.blogspot.com/-TJ6xqDXhCKc/WXyfJaaPnfI/AAAAAAABSwU/4IQGtD-idPIbqFHuD8MIsGbF7xLWwinxACLcBGAs/s1600/pas.jpeg
ALOR SETAR - Pas Pusat didakwa tidak berani mengambil tindakan termasuk memecat keahlian tiga wakil rakyat Pas Kedah, yang dilihat ‘mesra Pakatan Harapan’, biarpun ketiga-tiga mereka secara terbuka menunjukkan sokongan kepada seteru Pas.

Tiga wakil rakyat terbabit, iaitu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dan Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa turut hadir pada Konvensyen Nasional Amanah, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, hanya berlaku ‘perang mulut’ antara pemimpin Pas Pusat dan Mahfuz dalam mempertahan tindakan masing-masing, namun sehingga kini tidak dikenakan sebarang tindakan.

Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, berdasarkan kepada prinsip parti, mana-mana wakil rakyat yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada perjuangan parti lain boleh dikenakan tindakan.

“Mereka secara jelas sokong agenda Pakatan Harapan, malah sertai beberapa program dan ceramah. Saya andaikan Pas hanya berdiam diri kerana mereka bimbang jika tiga wakil rakyat Pas itu dipecat, ia hanya akan mengurangkan jumlah kerusi milik Pas,” katanya.

Menurutnya, ini kerana Pas tidak lagi mampu berdepan situasi ‘hilang kerusi’ selepas beberapa wakil rakyatnya sertai Amanah.

“Jika Pas pecat mereka, Pas akan hilang satu kerusi parlimen dan dua kerusi Dun Kedah. Sebab itu sampai sekarang, Pas tak berani ambil tindakan, walaupun sudah pasti tiga YB itu tidak akan dicalonkan semula pada PRU14,” katanya.

Ismail berkata, Pas membiarkan ketiga-tiga wakil rakyat itu ‘gantung tak bertali’ dan nasib mereka hanya akan diumumkan menjelang PRU14.

“Faktor kedua mereka tidak dipecat mungkin kerana Pas bimbang pengikut wakil rakyat yang dipecat bakal ikut jejak tinggalkan Pas. Ia tidak mustahil berlaku kerana setiap wakil rakyat itu miliki pengikut tersendiri,” katanya.

Menurutnya, ini akan menyebabkan undi Pas yang diberikan kepada wakil rakyat terbabit turut beralih kepada parti baharu yang disertainya.

“Sebab itu Pas tengok sahaja, tak berani buat apa-apa walaupun Mahfuz agak lantang bersuara,” katanya.

Pada masa sama, Ismail mengulangi pendirian parti itu terhadap Mahfuz, Amiruddin dan Mohd Nasir untuk meneruskan perjuangan politik bersama Amanah.

“Kami mengalu-alukan kehadiran mereka sekiranya berhasrat mengubah haluan politik. Saya andaikan jiwa mereka sudah pun bersama Amanah, cuma fizikal sahaja masih bersama Pas,” katanya.

Gelagat ‘tiga sekawan’ ini seolah-olah menunjukkan kecenderungan terhadap parti politik tertentu walaupun masih bergelar ahli Pas. Gerak kerja dan pemikiran mereka juga dilihat berlawanan dengan kehendak Pas.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...