TERKINI :

Monday, October 16, 2017

Wanita Pakatan Harapan selar denda RM1,000 keatas ibubapa lewat daftar lahir


KUALA LUMPUR: Wanita Pakatan Harapan (PH) menyelar pengumuman kerajaan untuk menaikkan denda sebanyak RM1,000 kepada ibu bapa yang gagal mendaftarkan anak dalam tempoh 60 hari selepas kelahiran.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching berkata denda yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed terlalu tinggi dan membebankan rakyat.

“Peningkatan denda daripada RM50 kepada RM1,000 jika ibu bapa gagal mendaftarkan kelahiran bayi mereka dalam tempoh 60 hari menjadi beban tambahan terutama kepada golongan miskin.

“Selain itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan penalti itu kerana tidak diwartakan dalam undang-undang,” kata Zuraida sambil mengingatkan Nur Jazlan bahawa denda itu bersamaan dengan upah minimum di Malaysia Barat.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) dengan pindaan yang diluluskan tahun lepas tidak menyatakan penalti yang dikenakan ke atas pendaftaran lewat dalam Seksyen 12 akta tersebut.

“Rujukan yang dibuat terhadap penalti adalah samar-samar dan tidak boleh dikenakan hanya dengan kata-kata seorang timbalan menteri dalam negeri. Ini perkara serius yang mesti didebatkan di Parlimen kerana ia memberi kesan kepada setiap rakyat,” kata Zuraida seperti dilapor FMT.

Sementara Teo pula berkata jumlah peningkatan denda itu akan meningkatkan bilangan kanak-kanak tanpa kerakyatan.

“November tahun lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat 290,437 kanak-kanak tanpa warganegara di Malaysia yang berumur di bawah 18 tahun.

“Jumlah itu lebih besar daripada jumlah penduduk Perlis. Kami tidak mahu melihat lebih ramai kanak-kanak menerima nasib yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mencadangkan supaya JPN membuat kajian terlebih dahulu untuk mengetahui punca ibu bapa lewat mendaftarkan anak mereka.

“JPN mesti buat analisis dulu punca kelewatan. Adakah sebab malas, tidak bertanggungjawab, buta huruf atau kemiskinan?

“Jika buta huruf atau miskin menjadi punca, mengenakan penalti yang tinggi tidak akan menyelesaikan masalah itu.”

Sebelum ini dilaporkan pasangan yang tidak mendaftar kelahiran dan surat beranak anak dalam tempoh 60 hari perlu membayar denda RM1,000, berkuatkuasa serta-merta.

Sebelum ini, denda pendaftaran lewat kelahiran hanya RM50.

“Kerajaan mengambil keputusan semua kelahiran mesti didaftar dalam tempoh 60 hari, sama ada anak sah taraf atau luar nikah.

“Jika ibu bapa mendaftar lewat dari tempoh berkenaan, mereka akan didenda sehingga RM1,000 berkuatkuasa serta merta,” kata Nur memetik laporan Berita Harian.

Beliau juga berkata peningkatan denda itu tidak membabitkan Sabah dan Sarawak.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...