TERKINI :

Thursday, October 5, 2017

Umno, PAS miliki DNA sama


Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa meramalkan akan terbentuk kerjasama antara Umno dan PAS dari masa ke semasa kerana kedua-dua parti itu mempunyai DNA (asid desksiribonukleik) yang sama.

Beliau berkata walaupun PAS menjunjung ideologi dan cara yang berbeza, namun parti itu mempunyai DNA dan matlamat yang sama dengan Umno iaitu memperjuangkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

Katanya, jika dahulu PAS dilihat mencari-cari perbezaan antara parti itu dengan Umno, namun di bawah pucuk kepimpinan PAS yang ada sekarang menunjukkan sedikit perubahan apabila mereka mula mencari titik kebersamaan itu.

"Oleh kerana PAS itu daripada DNA yang sama maka saya berkeyakinan dia ada titik pertemuan. Selama mana pun dia pergi, dia tidak akan berjalan selari...akan ada titik pertemuan. Maka bagi kita titik persamaan ini marilah kita meraikannya.

“Ia tidak bermakna PAS masuk Umno, Umno masuk PAS, tidak bermakna PAS semestinya menyertai BN (Barisan Nasional)...tetapi titik-titik kebersamaan ini, matlamat perjuangan itu menjadi lebih penting. Atas dasar itu saya meramalkan akan terbentuk kerjasama yang lebih kukuh dari masa ke semasa antara Umno dan PAS.

“Tunggulah beberapa minggu, beberapa bulan lagi bila pilihan raya semakin dekat saya percaya antara pucuk pimpinan PAS dan Umno selagi mana titik kebersamaan dan taawun itu ada, akan ada pengumuman yang seharusnya menggembirakan umat Islam dan kaum Melayu terutamanya atas kepentingan agama dan bangsa," katanya kepada pemberita selepas program Dialog Perjuangan 4 All, di Balik Pulau, malam tadi.

Program itu turut disertai Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau dan Prof Madya Datuk Dr Junaidi Abu Bakar yang bertindak sebagai moderator.

Terdahulu, Annuar berkata lawan Umno yang sebenarnya adalah DAP kerana parti itu mempunyai DNA yang berbeza iaitu menentang apa yang dibawa oleh Umno berbanding parti-parti lain seperti PAS, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang jelas merupakan parti serpihan Umno.

Beliau berkata DNA DAP jelas berbeza dengan parti-parti politik yang lain di negara ini kerana dasar perjuangan mereka berkiblatkan parti PAP di Singapura.

"DAP juga mempunyai DNA tertentu dan terbukti daripada perjalanan PAP hingga membentuk parti itu dan mereka sering menakutkan kaum Cina untuk membangkitkan kemarahan terhadap pentadbiran kerajaan sedia ada," katanya.

-Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...