TERKINI :

Thursday, October 26, 2017

Timba ilmu pelayaran percuma di Langkawi

 Timba ilmu pelayaran percuma di Langkawi
ALOR SETAR - Anak muda Kedah khususnya Langkawi berpeluang mengikuti ilmu pelayaran dan kemahiran di laut secara percuma, yang dikendalikan pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang menegaskan kerjasama antara Pejabat Menteri Besar Kedah dan Telaga Harbour Marina itu dimeterai bagi melahirkan lebih ramai pelayar berkualiti dari Kedah.

“Program muafakat komuniti yang dinamakan Kor Anak Laut atau Koral adalah untuk membimbing anak muda mendalami latihan kemahiran di laut, ilmu pelayaran, kepimpinan dan pendedahan kepada khazanah perairan Langkawi,” katanya.

Menurutnya, Langkawi memiliki kelebihan dalam penganjuran program seumpama kerana dikelilingi perairan yang kaya dengan khazanah laut dan warisan, serta kemudahan maritim yang membolehkan pelbagai aktiviti laut diadakan.

“Kita akan gunakan pengalaman Azhar untuk dimanfaatkan dalam lahirkan anak Kedah yang mahir dalam ilmu pelayaran. Program ini berpengkalan di sebuah pulau buatan berkeluasan 2.4 ekar, terletak kira-kira 700 meter dari Telaga Habour Marina berhadapan Pantai Kok, dikenali sebagai Pulau Seratusa,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, pelbagai aktiviti rekreasi juga diadakan dengan adanya empat buah kapal dan 11 jet ski yang disediakan.

“Kita akan bangunkan projek bermanfaat untuk rakyat, di mana perjanjian pajakan pulau bekenaan dibuat antara Telaga Harbour Marina dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) selama 30 tahun,” katanya.

Koral dibahagikan kepada tiga unit, iaitu Kor Muda Laut (13-17 tahun), Kor Remaja Laut (18-21 tahun) serta Kor Simpanan Laut (terbuka kepada sukarelawan).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...