TERKINI :

Monday, October 9, 2017

Tiada sebab untuk halang "Oktoberfest" di Johor kata Khaled Nordin

KETIKA kontroversi melanda berhubung langkah pihak berkuasa menghentikan 2 pesta arak, di Kuala Lumpur dan Selangor, Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata, beliau tidak akan menghalang program Oktoberfest yang akan berlangsung di sebuah hotel di Johor Bahru kerana ia telah bertahun-tahun dianjurkan.



The Straits Time (TST) melaporkan, pihak polis dan pihak berkuasa tempatan telah mengharamkan penganjuran pesta minuman arak di Kuala Lumpur dan Bandar Klang di Selangor, kerana ancaman keselamatan walaupun ia pernah dianjurkan tanpa sebarang insiden tahun-tahun sebelum ini.

Kontroversi terhadap program tertutup yang melibatkan orang bukan Islam di Malaysia itu dilihat sebagai satu lagi langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menyebelahi golongan Muslim Konservatif yang lantang, lapor sumber berita itu.

Sebahagian melihat kerajaan melakukan pengharaman itu bagi menunjukkan ia memberi sokongan kepada sensitiviti bank pengundinya iaitu pengundi-pengundi Melayu Islam.

Pesta minuman arak Jerman dilapor telah dianjurkan sejak beberapa tahun di Malaysia tanpa mendapat banyak tentangan.

Parti Islam Se Malaysia, PAS dua minggu lalu berkata bahawa penganjuran Oktoberfest yang dijadualkan di sebuah pasaraya di Kuala Lumpur, tidak menghormati orang-orang Islam.

Ahli jawatankuasa pusat Pas, Riduan Mohd Nor dipetik sebagai berkata:

"Walaupun orang Islam bukanlah disasarkan sebagai peserta, dalam masa yang sama tidak ada had ataupun halangan halangan sekiranya orang Islam mahu menyertai."

"Apakah jaminan ataupun keselamatan yang boleh diberikan kepada awam yang tidak terlibat, seperti jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain."

Pihak polis kemudian mengesahkan bahawa program itu telah dibatalkan kerana bimbang ia mungkin boleh mencetuskan serangan dari kumpulan-kumpulan militan.

Satu lagi acara Oktoberfest yang dirancangkan di sebuah pasaraya di Bandar Klang juga telah dibatalkan.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Mohamad Yasin Bidin, kelulusan yang dikeluarkan kepada penganjur Centro German F&B Party di Centro Mall telah ditarik balik selepas pihak polis menarik balik surat sokongan terhadap program itu.

Semua acara tertutup dan terbuka berskala besar perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak polis sebagai langkah keselamatan, katanya seperti yang dipetik oleh akhbar Sin Chew Daily pada hari Ahad.

"Dengan kata lain, ia mesti mendapat kelulusan pihak polis, kerana inilah yang diperlukan dalam peraturan. Tidak ada kena mengena sama ada minuman alkohol akan dihidangkan sewaktu festival tersebut ataupun tidak."

"Acara itu bersifat komersial, dan oleh kerana penganjur tidak dapat kelulusan pihak polis, maka kami juga tidak dapat meluluskannya,"


Sumber — The Straits Time

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...