TERKINI :

Sunday, October 15, 2017

Rasuah pegawai tinggi k’jaan buktikan ‘ikan busuk dari kepala’ itu benar

HUSEIN MAHAT


Budaya rasuah yang semakin menular sehingga melibatkan pegawai tinggi kerajaan kini di tahap serius dan masyarakat perlu memandang berat perkara ini, kata Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.

“Saya ambil maklum kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu bahawa seramai 38 daripada 44 individu yang ditahan SPRM negeri itu kerana terbabit rasuah dan salah guna kuasa sejak Januari tahun ini hingga Khamis lepas,” kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar itu.

Azan merujuk kenyataan Pengarah SPRM Terengganu Mohd Zaki Hassan bahawa sejumlah 33 pertuduhan rasuah membabitkan penjawat awam sudah dibuat manakala baki 11 individu masih menunggu tarikh pertuduhan.

Menurut beliau, statistik itu menunjukkan peningkatan jumlah tangkapan dan pertuduhan rasuah di Terengganu berbanding hanya 15 tangkapan dengan 18 tuduhan sepanjang tahun lalu dan peningkatan ini jelas menunjukkan gejala ini semakin berleluasa.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana jika kita mahu menjadi sebuah negara yang benar-benar maju, bebas daripada amalan rasuah maka amalan menolak dan membanteras gejala rasuah menjadi budaya. Amalan ini bukan hanya perlu dibendung tetapi perlu dihapuskan demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya.

Menurut Azan, berdasarkan statistik Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM, sebanyak 665 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penjawat awam sepanjang tahun 2016 hingga Februari lalu.

Sejak 2014 hingga tahun lalu, katanya SPRM telah menahan seramai 2,329 orang dan daripada jumlah tersebut 54 peratus membabitkan 1,267 individu berumur 40 tahun ke bawah.


“Jelas dalam isu ini, 635 individu atau 50 peratus dalam lingkungan usia itu merupakan penjawat awam yang terlibat dalam gejala rasuah,” jelas beliau.

Beliau bagaimanapun berharap SPRM tidak hanya memandang kes-kes rasuah kecil namun perlu memberi perhatian terhadap skandal rasuah berskala besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah tambah beliau, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) telah menangguhkan saman sivil untuk menyita sejumlah aset yang dipercayai diperolehi menggunakan wang yang diselewengkan daripada 1MDB bagi memulakan siasatan kes jenayah.

“Tetapi jelas bagi saya, nampaknya SPRM sedang digunakan untuk menutup amalan ‘rasuah tingkat tertinggi’ yang merupakan satu tindakan merugikan negara.

“Ia mengesahkan ini satu kleptokrasi dan ‘kakistokrasi’ – sebuah negara yang ditadbir oleh orang yang paling teruk, sangat tidak layak, paling tidak berprinsip dan rasuah,” kesalnya merujuk kepada Malaysian Official No. 1 (MO1) seperti terkandung dalam laporan DoJ.

Beliau turut menasihati pemimpin Umno-BN agar bersikap jujur kepada rakyat dan tidak mendidik kakitangan kerajaan sebagai penjenayah rasuah kerana ‘busuknya ikan itu selalunya bermula di kepala’.

“Gesaan itu juga pernah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, supaya gejala rasuah perlu dihapuskan bermula daripada kepala-kepala, dan tentunya ia merujuk kepada pimpinan teratas dalam pentadbiran kerajaan Umno-BN,” ujarnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...