TERKINI :

Tuesday, October 10, 2017

Presiden Pas sendiri tidak berani pertahan amanatnya, isu RCI Memali tidak berbunyi lagi

AMPANG: Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa menyifatkan pemimpin tertinggi Pas tidak berani secara terbuka mempertahankan kenyataan mereka sebelum ini yang cenderung mengkafirkan orang di luar parti tersebut.

Menurutnya, gejala takfiri termasuk menghalalkan darah bagi sesiapa yang keluar dari Pas hanya doktrin politik yang boleh ditewaskan kerana bersifat lebih mahu mengekalkan sokongan kepada parti itu.

“Penggunaan agama terhadap penentang Pas akan ketinggalan zaman dalam masa terdekat. Jika pilihan raya kali ini Pas bersendirian dan Pas kalah teruk tetapi AMANAH, InsyaAllah berjaya, saya kira politik berasaskan doktrin cara ini akan pupus.

“Doktrin ini hanya untuk mengekalkan orang Pas untuk (terus) menyokong Pas. Dia tidak boleh mengembangkan pengaruh untuk orang di luar Pas untuk menyokong Pas,” tegasnya dalam slot Bicara Telus Bersama Pimpinan Pakatan Harapan di Ampang, malam kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu berkata, pengalamannya di Kelantan juga belum lagi berdepan serangan bersifat takfiri secara bersemuka.

“Kalau di Kelantan saya sendiri tidak pernah bertemu dengan masalah ini walaupun mungkin di surau-surau kecil bila orang AMANAH tiada, ustaz-ustaz ini berceramah (mengkafirkan orang lain).

“Tetapi sampai hari ini, bila kita mengajak mana-mana pemimpin Pas (dari) majlis syura, dewan ulamak berdialog atas tajuk ini, tiada siapa sanggup,” ujarnya sebagai salah seorang panel bicara telus anjuran AMANAH Wilayah Persekutuan itu.

Jelasnya, Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang juga tidak tampil secara terbuka mempertahankan kenyataannya dalam ceramah umum di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang kemudian dipanggil sebagai Amanat Haji Hadi.

“Bahkan Presiden Pas, Ustaz Hadi sendiri sudah tidak lagi berani mempertahankan Amanat Haji Hadi. Beliau menulis banyak perkara sebelum dan selepas uzur tetapi beliau tidak mempertahankan isu Amanat Haji Hadi.

“Kemudian, apabila isu Memali dibangkitkan, orang Pas pada mulanya sangat bersemangat untuk RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) isu Memali tetapi bila saya bangkitkan di Perak jika RCI ini ditubuhkan Haji Hadi mestilah mempertahankan amanatnya, hari ini RCI (Memali) sudah tidak kedengaran lagi,” katanya.

Padahal, jelasnya, Amanat Haji Hadi dilihat mempengaruhi sikap dan tindakan Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud memandangkan amanat itu tertampal di surau individu yang lebih dikenali dengan Ibrahim Libya berkenaan.

“Saya tidak dengar mana-mana pihak daripada Pas membangkitkan isu (RCI Memali) ini lagi. Kemudian apabila Che Det (Tun Mahathir) menulis tentang beberapa isu yang sama untuk dijawab oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man – adakah orang lain daripada Pas itu kafir, orang yang berjuang di luar parti Islam itu tidak Islam?

“Sampai hari ini Datuk Tuan (Ibrahim) tidak respon kepada kenyataan itu bermakna Pas sudah tidak berani berdepan dengan tajuk ini.

“Mungkin di kampung, pedalaman surau adanya ungkapan seperti ini (gejala takfiri) tetapi secara terbuka, pemimpin Pas tidak berani,” katanya dalam program Malam Menjunjung Amanah Rakyat itu.

Lanjut mengulas impak doktrin politik Pas yang mengkafirkan orang lain pada slot dimoderatorkan Ariffin Hassan itu, Husam berkata, pendekatan tersebut tidak menjamin kemenangan Pas dalam pilihan raya sebelum ini.

“Kalau itu kekuatan Pas, lama sudah Pas menang. Di mana saja Pas guna isu ini, paling kuat di Besut, adanya masjid dua imam, kubur berasingan, dan di Marang sendiri.

“Tapi Besut secara umumnya Pas tidak boleh menang. Pengaruh politik Pas tidak boleh berkembang dengan doktrin ini dan dengan cara itu lama-kelamaan, IsyaAllah doktrin itu akan pupus.

“Cara selesaikan? Pas akan selesaikan sendiri,” tambahnya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...