TERKINI :

Friday, October 6, 2017

Pendang - Guna nama Abim kutip derma depan bank

 Guna nama Abim kutip derma depan bank
PENDANG - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) telah merampas sebuah tabung kutipan derma haram yang diletakkan di hadapan sebuah bank di daerah ini.

Yang Dipertua Abim Kedah, Zul Azri Mohd Sani berkata, pihaknya sangat kesal dengan kejadian ini kerana mereka tidak pernah meletakkan sebarang tabung kutipan derma di hadapan bank.

"Pada Selasa lalu, pihak Abim ada menerima panggilan telefon daripada orang awam mengatakan terdapat seorang lelaki bersama sebuah tabung derma atas nama sekolah dibawah seliaan Abim iaitu Sekolah Menengah Sains Tahfiz Alor Setar di hadapan bank," katanya.

Katanya, pengadu berkenaan bertanya adakah Abim ada membuat kutipan derma untuk pembangunan sekolah dan pihak Abim terus menafikan.

"Pihak kami telah menghantar wakil ke bank tersebut dan melihat sendiri keadaan di sana.

"Ternyata, memang benar terdapat sebuah tabung disana namun lelaki yang dilaporkan tidak terdapat di situ dan pihaknya telah mengambil tabung berkenaan dan membawa pulang ke pejabat," jelasnya.

Zul berkata, pihak Abim hanya membuka akaun bank untuk orang ramai menyalurkan sumbangan dan belum pernah menggunakan kaedah meletakkan tabung di hadapan bank.

"Hasil siasatan, kami dapati dalam tabung tersebut hanya terdapat RM10 dan kami tidak mengetahui sejak bila aktiviti tidak bertanggungjawab ini berlaku," katanya.

Zul turut meminta orang ramai agar lebih berhati-hati dengan kaedah kutipan derma seperti ini dan berharap mereka yang menjumpai tabung atas nama pembangunan berkaitan Abim untuk melaporkan segera kepada pihaknya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...