TERKINI :

Wednesday, October 18, 2017

Pekerja asing bertali arus bawa kesan negatif

Kerajaan dilihat tidak mampu mengawal kemasukan pekerja asing yang akhirnya menjadi masalah kepada negara ini, kata Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir.

Beliau berkata, ketika ini, nisbah bilangan pekerja tempatan dan pekerja asing adalah 1:3 bagi semua sektor dan bahagian termasuk bidang pembuatan yang mengeksport produk masing-masing ke luar negara.

“Jika semuanya (100 peratus) adalah pekerja asing nisbah pekerja tempatan dan pekerja asing adalah 0:3. Bagaimana dengan nasib pekerja tempatan?

“Sudah terlalu banyak rungutan daripada ribuan lepasan graduan di dalam negara ini masih menganggur dan berhempas pulas mencari pekerjaan tetapi kenapa pekerja asing harus diutamakan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kesediaan kerajaan untuk mempertimbangkan permohonan pengambilan 100 peratus pekerja asing dalam sektor pembuatan bagi memenuhi keperluan pengilang di bahagian pengeluaran produk.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri telah mengumumkan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja asing ke Malaysia.

Akmal berkata, dibimbangi suatu masa nanti kesemua sektor akan dimonopoli oleh pekerja asing kerana kebanyakan pekerja asing sekarang ini pada mulanya masuk bekerja mengikut sektor, namun apabila sudah lama berada di dalam negara ini, mereka akan lari dan mula mencari kerja yang bergaji mahal ataupun memulakan perniagaan.

“Kerajaan jangan beri alasan bahawa graduan ini tidak mahu bekerja bidang seperti itu, kita sendiri dapat lihat baru-baru ini seorang graduan kejuteraan binaan bekerja sebagai pencuci rumah kerana gagal mendapat kerja setaraf kelayakan akademiknya.

“Kerajaan sepatutnya melihat kepentingan rakyat ini sebagai keutamaan dalam pengambilan pekerja asing di samping keperluan terhadap golongan ini bagi memajukan industri-industri tertentu di negara ini. Janganlah seperti ‘kera dihutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan’,” katanya.

Justeru beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula untuk pengambilan pekerja asing ini yang terlampau ramai dan memberi banyak kesan negatif dan sepatutnya memberi peluang mendahulukan anak tempatan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...