TERKINI :

Sunday, October 29, 2017

Pas perkenal cukai orang kaya, hapus GST

Pas perkenal cukai orang kaya, hapus GST
Muhammad Khalil (empat dari kiri) menunjukkan buku cadangan bajet.

KUALA NERUS - Penghapusan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan memperkenalkan cukai mewah bagi golongan kaya antara fokus utama pembentangan Bajet Malaysia 2018 (Alternatif) bagi perspektif Pemuda Pas.

Bagaimanapun, GST hanya akan dihapuskan dalam tempoh tiga tahun atas sebab implikasi undang-undang, namun tiada kutipan dibuat sehingga ia dimansuhkan.

Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, adalah mustahil untuk Pas memansuhkan serta merta sistem itu seandainya memenangi PRU14 memandangkan ia terikat dengan undang-undang serta akta negara yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata, Pas menyasarkan untuk mansuh GST dalam tempoh tiga tahun selepas memerintah, namun sepanjang tempoh itu tiada kutipan dibuat, tetapi akta (GST) tetap ada.

“Setiap cadangan atau manifesto yang Pas ingin laksanakan adalah perlu realistik dan kita perlu sedar bahawa kita masih lagi terikat dengan undang-undang negara yang perlu dipatuhi.

“Namun, jelas sini, fokus kita adalah ingin hapuskan GST dan dalam masa yang sama kita cadangkan alternatif lain seperti menaikkan cukai simpanan korporat, cukai keuntungan perniagaan saham dan cukai mewah bagi golongan kaya.

“Pelaksanaan GST yang dikenakan ketika ini jelas memberi bebanan yang cukup besar kepada rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan kerana cukai turut dikenakan ke atas barangan keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pembentangan Bajet Malaysia 2018 (Alternatif) Perspektif Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) di Hotel Tabung Haji dan Pusat Konvensyen, di sini, semalam.

Menurut Abdul Khalil, selain penghapusan GST, cadangan bajet yang bertemakan ‘Pembangunan Demi Kelestarian Generasi Masa Depan’ itu turut memberi perhatian terhadap ketirisan dan pembaziran yang berlaku dalam pemerintahan kerajaan ketika ini.

“Kita melihat ketika ini terlalu banyak kementerian diwujudkan dalam kerajaan dengan turut membuat pelantikan politik membabitkan jawatan timbalan menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Pemuda Pas turut membuat perkiraan cadangan pendapatan kerajaan sekiranya memerintah negara ini berjumlah RM215 juta membabitkan RM125 juta untuk cukai langsung, RM50 juta untuk cukai tidak langsung dan RM40 juta untuk hasil bukan cukai.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...