TERKINI :

Thursday, October 26, 2017

‘P107 Sungai Buloh’ belum wujud tetapi BN sudah ada bilik gerakan, soal Bersih

 Mandeep-Singh_Noh-Omar_bn_600
PETALING JAYA: Gabungan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 hari ini melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Barisan Nasional (BN) Selangor melancarkan bilik gerakan bagi sebuah kerusi Parlimen yang belum wujud.

Pengurus Sekretariat Bersih 2.0 Mandeep Singh berkata Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar perlu menjelaskan tindakan itu, selepas pengumuman bilik gerakan untuk kawasan Parlimen “P107 Sungai Buloh” pada Isnin lepas.

“Pelancaran ini menunjukkan keangkuhan dan sikap tidak hormat BN dan Noh Omar terhadap proses persempadanan kerana kes mahkamah untuk persempadanan semula Selangor masih sedang berlangsung,” katanya di sidang media hari ini.

Selasa lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan menetapkan 7 Disember untuk keputusan permohonan tuntutan kerajaan Selangor agar persempadanan semula dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diisytihar salah di sisi perlembagaan dan tidak sah.

Tuntutan itu difailkan pada 19 Oktober tahun lalu terhadap SPR, pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dan setiausahanya Datuk Abdul Ghani Salleh, berhubung persempadanan semula berkenaan.

Mandeep berkata pihaknya menyesali tindakan berkenaan dan pengundi harus menolak persempadanan yang tidak sekata itu yang dilihat memberi kelebihan kepada sesetengah parti politik.

“Jika tidak diawasi, persempadanan semula yang tidak adil akan menyebabkan sistem pilihan raya tidak bersih dah adil,” katanya.

Mandeep berkata, gabungan itu juga menuntut 3 perkara kepada SPR, antaranya menggesa BN dan Noh menarik balik pelancaran bilik gerakan Sungai Buloh, dan memaklumkan kepada semua parti politik secara rasmi terutama BN menghormati proses persempadanan yang sedang berlangsung.

Ia juga mahu pelancaran bilik gerakan di kawasan Parlimen yang belum diwartakan dihentikan segera.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...