TERKINI :

Sunday, October 15, 2017

‘Jika DAP parti komunis, kenapa China jemput Umno ke kongres?’

 Lim-Guan-Eng-Kongres-Nasional-Parti-Komunis-China
PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara sinis berkata, beliau terluka apabila Umno dijemput ke Kongres Nasional Parti Komunis China (CPC) ke-19, pada 18 Oktober ini.

Katanya, CPC sepatutnya menjemput DAP yang sering dilabelkan parti komunis ke kongres itu, bukannya Umno yang memperjuangkan hak Melayu.

“Lagi gila apabila kata kita ini komunis. Bila parti komunis ada himpunan besar di Beijing, China, parti mana yang dijemput hadir dan satu-satunya parti (di Malaysia) diberikan penghormatan untuk berucap?

“DAP tidak ada langsung dipanggil, terguris hati saya. Kalau dikatakan parti komunis, macam mana kita pula tidak dijemput,” katanya sewaktu berucap di himpunan “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ di Padang Timur, malam ini.

Pada 2 Oktober lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, wakil parti Melayu itu diberi penghormatan untuk berucap dan memberi maklum balas berkaitan hubungan antarabangsa pada kongres CPC.

Beliau berkata, Umno menghargai hubungan akrab dengan CPC dan menganggap ia kelangsungan 2 negara membabitkan 2 parti pemerintah saling bertukar pandangan.

“CPC mengamalkan sistem satu parti yang bukanlah bermakna tiada demokrasi dalam pentadbiran mereka, sebaliknya ia menunjukkan ketelusan di kalangan anggota kongres itu sendiri untuk saling meningkatkan kemajuan masyarakatnya,” katanya dipetik Umno Online.

Guan Eng berkata, hanya Umno dan Barisan Nasional sahaja yang berhajat besar mengangkat Lim Kit Siang sebagai perdana menteri, selepas Datuk Seri Najib Razak.

“Mereka (Umno) cakap perdana menteri selepas Najib adalah Kit Siang. Kit Siang pula kata bukan dia yang akan ganti Najib, bahkan Tun Dr Mahathir Mohamad juga kata bukan. Hanya Umno sahaja mahu Kit Siang jadi perdana menteri,” katanya.

Sementara itu, ketua menteri Pulau Pinang itu berjanji akan meneruskan inisiatif dibawakan BN seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), namun akan menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), jika memenangi pilihan raya umum ke-14.

“Kita akan hapuskan GST itu adalah yang pertama dan kita pastikan BR1M tetap dibayar kepada semua rakyat Malaysia. Saya percaya kita mampu lakukan sebab kita bersih, tidak makan wang rakyat.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...