TERKINI :

Thursday, October 26, 2017

Jho Low kebal kerana Umno, kata Mukhriz


Naib presiden PPBM itu berkata ahli perniagaan yang dinamakan penyiasat Amerika Syarikat masih selamat kerana pembelaan Umno.

mukhriz-jho-low-umno

PETALING JAYA: Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata ahli perniagaan Low Taek Jho, yang dinamakan dalam dokumen siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat mengenai kecurian wang 1MDB, masih selamat disebabkan pembelaan daripada Umno.

“Begitu kebal Jho Low,” kata naib presiden PPBM itu, merujuk panggilan popular anak kelahiran Pulau Pinang itu.

“Orang macam ini pun Umno masih pertahankan. Laungkan ‘Hidup Melayu’ tetapi Jho Low juga yang hidup senang lenang dan Umno jugalah yang pertahankannya,” katanya pada program “Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat” di Alor Gajah, Melaka, malam tadi.

Kapal layar Jho Low, “Equanimity” yang merupakan antara sasaran tindakan pembekuan aset oleh DoJ, baru-baru ini dilaporkan berlabuh di Sabang, sebuah bandar di Pulau Weh, di utara Aceh pada 23 Oktober lalu.

Menurut pemfailan DoJ di mahkamah AS, Equanimity ditempah khas dan mempunyai sauna, bilik urut, kola, terjun, dan ruang tamu, serta diselenggara dengan dana AS$250 juta (RM1.06 bilion) berasal dari 1MDB.

Mukhriz berkata Umno pada masa ini berbeza dengan Umno pada ketika negara berada dalam kegawatan ekonomi dahulu, seperti pada 1997.

“Rakyat melihat kerajaan dahulunya bersungguh-sungguh melaksanakan dasar kerajaan yang betul-betul memberi faedah, waktu ekonomi negara merudum kerajaan Barisan Nasional (BN) yang selamatkan keadaan.

“Dahulunya, perjuangan Umno murni, tetapi pada hari ini, Umno dan BN yang kita kenali sudah tidak ada lagi kerana ia diganti dengan kepimpinan yang rakus,” katanya.

Mukhriz turut merujuk lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Washington untuk bertemu Presiden Donald Trump.

“Ketika lawatan Najib ke Amerika Syarikat, dia seolah-olah undang diri sendiri, perjumpaan hanya 20 minit, bukannya pertemuan empat mata, sebaliknya dirakam.

“Bahkan Najib menyatakan, kedatangannya ke Amerika Syarikat pula untuk memulihkan ekonomi negara berkenaan, sedangkan ekonomi Amerika Syarikat 600 kali lebih besar daripada Malaysia,” katanya.

DoJ berbekalkan dokumen setebal 251 muka surat pada Jun lalu memfailkan saman untuk merampas hartanah bernilai lebih RM400 juta yang dibeli Jho Low atas dakwaan ia dibeli dengan wang dilesapkan daripada 1MDB.

Antara hartanah berkenaan adalah sebuah “penthouse” di London dengan pemandangan Istana Buckingham dan sebuah unit pejabat menempatkan syarikat pengeluar pakaian dalam wanita.

DoJ juga mendakwa antara Februari dan November 2014, Jho Low membeli 4 set batu permata dari pereka barangan kemas Lorraine Schwartz sebagai hadiah untuk model Australia Miranda Kerr.

Yang pertama adalah berlian berbentuk hati 11.72 karat bernilai AS$1.29 juta (RM5.5 juta) yang dihadiahkan Jho Low kepada Kerr. Jho Low didakwa membelinya menggunakan dana diselewengkan dari 1MDB hasil terbitan bon pada 2013.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...