TERKINI :

Saturday, October 7, 2017

'Jangan bawa politik ke sekolah'


'Jangan bawa politik ke sekolah'
SEMUA parti politik dilarang membawa sebarang aktiviti berunsur politik ke kawasan sekolah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarulzaman Abdul Razak menegaskan, sebarang hal-hal berkaitan dengan politik perlulah dielakkan daripada dibawa ke sekolah kerana ia boleh menjejaskan hubungan antara ibu bapa dengan anak, serta murid dengan murid.

"Mungkin pandangan dan pemikiran ibu bapa berbeza dengan anak mereka.

"Begitu juga murid dengan murid yang mungkin boleh mencetuskan pergaduhan kerana perbezaan pendapat," kata Kamarulzaman kepada Oriental Daily.

Beliau berkata, pendidikan tidak boleh digunakan sebagai alat untuk tujuan politik, tambahan pula murid dan ibu bapa mempunyai hak menyokong parti politik yang mereka inginkan.

Kamarulzaman mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggesa guru menyertai Umno dalam acara sekolah di Putrajaya, baru-baru ini.

"Tidak ada salah parti politik menganjurkan aktiviti di sekolah. Sebelum ini, ia memang telah berlaku. Kadangkala ada guru besar sendiri yang menjemput parti politik untuk mengadakan aktiviti di sekolah mereka.

"Kalau hanya nyanyikan lagu parti dan gantung bendera parti, ia memang tidak salah, yang salah bukan penganjuran aktiviti oleh parti politik itu, sebaliknya jika membabitkan motif penyebaran kenyataan-kenyataan berbaur politik," katanya.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang turut terkejut dengan kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa yang bersetuju dengan tindakan Tengku Adnan.

Kit Siang berkata, penjawat awam jangan tunduk terhadap tekanan politik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin BN.

“Penjawat awam harus menunjukkan kesetiaan kepada negara dan rakyat, bukannya kepada parti politik,” tegasnya seperti dilaporkan dalam China Press.

Dalam acara itu, bendera Umno dipasang di seluruh sekolah dan murid-murid juga mengibarkan bendera Umno serta menyanyikan lagu parti.

“Mungkin Ali akan berkata bahawa guru-guru boleh menyertai DAP dan parti komponen Pakatan Harapan lain?,” soal Kit Siang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...