TERKINI :

Monday, October 16, 2017

Himpunan ‘anti-kleptokrasi’ di Padang Timur gagal kerana ketiadaan PAS

FMT Reporters | October 16, 2017

Riduan-Mohamad-klepto
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Riduan Mohamad Nor berkata, himpunan Sabtu lalu gagal kerana PAS bukan sebahagian gabungan pembangkang yang berjaya menganjurkan himpunan besar-besaran sebelum ini.

Riduan-Mohamad-kleptoPETALING JAYA: PAS hari ini berkata, jumlah peserta ke perhimpunan di Padang Timur Sabtu lalu menunjukkan ia gagal mencapai sasaran, dan kerana parti Islam itu bukan lagi sebahagian gabungan pembangkang yang sebelum ini berjaya menganjurkan himpunan besar-besaran.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Riduan Mohamad Nor berkata, Pakatan Harapan (PH) gagal mencapai sasaran diharapkan walaupun mempunyai 3 bulan untuk merancang perhimpunan yang dihadiri pemimpin tertinggi semua 4 parti dalam gabungan pembangkang itu.

“Jika tempoh yang sama digerakkan pasukan mobilisasi PAS, sebagaimana terbukti sebelum ini, maka 270,000 hingga 300,000 ahli akan berhimpun seperti himpunan H355 dan Fastaqim 2.0,” kata Riduan merujuk 2 perhimpunan anjuran PAS di Kuala Lumpur dan Terengganu tahun ini.

Beliau menyatakan beberapa faktor menyumbang kepada kegagalan himpunan “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” anjuran PH.

Pertama katanya, PAS ketika bersama Pakatan Rakyat (PR) mempunyai modus operandi tersusun dalam mengerah ahlinya daripada semua peringkat dengan 80% peserta ialah ahli parti Islam itu.

“PAS bukan hanya meramaikan himpunan, tetapi membekalkan petugas keselamatan iaitu anggota Jabatan Amal yang sangat berdisiplin dan mempunyai dedikasi tinggi, selain pasukan khas medik dengan ambulans sendiri.”

Riduan turut mendakwa PH tidak mempunyai pimpinan berintegriti untuk menjulang tema himpunan anti-kleptokrasi itu.

“Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas ahli Umnonya mempunyai sejarah silam yang tak mampu dipadamkan dengan apa jua serbuk penyental. Mereka daripada pasukan perompak negara dengan pelbagai skandal kewangan.

“Mereka ‘acah-acah suci’ untuk menolak pemerintahan Datuk Seri Najib Razak, sedangkan rakyat yang pernah menderita di zaman Dr Mahathir tidak mudah melupakan senarai panjang kezaliman dan salah guna kuasa.”

Tambahan, katanya, rakyat tidak yakin dengan DAP yang merupakan pendorong kegagalan perhimpunan itu.

“Lihat sahaja ucapan pimpinan utama DAP di pentas utama himpunan yang hanya meratib ‘gila’ berulang kali tanpa kerangka berfikir yang mapan untuk memulihkan negara ini daripada penyalahgunaan kuasa. Ucapan mereka seperti kokok berdegar-degar, tetapi ekor bergelumang tahi.”

Beliau berkata, himpunan itu juga tidak berjaya menarik penyertaan belia berbanding Fastaqim 2.0, di mana lebih 70% peserta ialah anak muda pelbagai latar belakang, termasuk daripada aliran tarbawi, tajnid dan peminat muzik genre keras.

“PAS sebagai gerakan massa berjaya memicu kesedaran politik anak muda, termasuk wanita muda,” katanya yang mendakwa Pemuda DAP, PPBM, Amanah dan PKR gagal meraih sokongan belia.

Riduan berkata, PH juga gagal menghimpunkan 100,000 peserta di kubu kuat sendiri, berbanding PAS yang berjaya menarik penyertaan 250,000 ahli dan penyokong ke Fastaqim 2.0 di Kuala Nerus yang merupakan kubu Umno.

“Walaupun bendera PAS dicabut, dikenakan saman oleh pihak berkuasa tempatan, ada masjid yang menutup bekalan air untuk pengunjung dan pelbagai karenah BN, namun keazaman dan iltizam penyokong PAS berupaya mengatasi segala halangan.”

Katanya, himpunan anti-kleptokrasi itu gagal kerana PH tidak mempunyai jentera akar umbi dan sokongan NGO.

“Selama ini jentera pilihan raya PR disandarkan pada PAS, petugas PAS di atas nama arahan jamaah dan sikap setiakawan telah membantu rakan komponen PR. Kali ini jentera PAS tidak perlu memikul biawak hidup lagi, mereka boleh menghela nafas lega sambil berzikir mengingati Allah.

“Saya difahamkan, kelompok radikal tidak selesa dengan keberadaan Dr Mahathir dalam hirarki kepimpinan PH. Mana mungkin seorang yang menggunakan pelbagai akta drakonian di zaman berkuasa dulu, kini diwirakan untuk memimpin kebangkitan rakyat menentang rejim korup.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...