TERKINI :

Monday, October 9, 2017

Gagasan Sejahtera kian kukuh mendepani PRU14

 Nasruddin Hassan
SHAH ALAM - Kejayaan penganjuran Himpunan Fastaqim 2.0 yang berjaya mencapai sasaran 200,000 peserta membuktikan bahawa Pas bersama parti politik lain yang membentuk Gagasan Sejahtera kian kukuh mendepani PRU14 akan datang.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, penganjuran himpunan itu jelas memperlihatkan penglibatan pelbagai pihak yang bersama-sama mendukung perjuangan Pas untuk membina sebuah negara yang sejahtera bersama Islam.

“Himpunan ini adalah sebagai ‘roll call’ kepada semua jentera bagi mendapatkan arahan kerja daripada kepimpinan bagi mengusahakan kemenangan yang kita disasarkan.

”Kemenangan semanis madu memerlukan pengorbanan sepahit hempedu. Menang tidak semudah lafaz namun himpunan ini menjadi pengajaran dan latihan kepada jentera supaya berkorban dalam perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga merupakan pengerusi himpunan tersebut berkata, penganjuran Fastaqim 2.0 melambangkan struktur amal kebajikan Pas kepada masyarakat sekali gus membuktikan parti Islam itu berpotensi membina sebuah negara berkebajikan.

“Amal kebajikan terus sinonim dengan Pas dan ia telah menjadi disiplin yang terus disemai. Ia bukan sekadar himpunan biasa tetapi bagaikan satu kem latihan dan pembinaan peribadi pejuang yang soleh, berakhlak mulia dan berdisiplin tinggi.

“Fastaqim 2.0 telah menghantar isyarat yang jelas kepada seluruh rakyat agar bersikap optimis terhadap masa depan Islam. Gagasan Sejahtera adalah blok pilihan terbaik,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkata, kelemahan dan ketiadaan kuasa politik umat Islam yang mantap telah menyebabkan tekanan dan ancaman golongan anti Islam yang semakin memuncak.

“Implikasinya, agenda Islam dipersenda dan suara Islam diabaikan oleh mereka,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...