TERKINI :

Thursday, October 5, 2017

Enam Beranak Harap Ihsan Jiran


SUNGAI PETANI: Ditinggalkan suami tanpa sebarang nafkah lebih dua tahun lalu, seorang ibu tunggal dari kampung Bukit, Sungai Pasir, di sini, terpaksa mengharap ihsan jiran dan orang ramai untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama lima anak.

Lebih memilukan saban hari, Nor Azura Mustafa, 30, terpaksa menebalkan muka ke kedai menjual ayam bagi mendapatkan sisa kaki, hati dan limpa ayam yang diberi percuma oleh peniaga untuk dijadikan lauk mereka anak beranak.

Menurutnya, dia kini menumpang di rumah usang milik ayahnya bersama lima anak, Nur Aina Fadhilah Mohd Fairuz, 11, Nur Arina Dayana,9, Muhamad Yusof 8, Muhammad Aidil Syawal,7, dan Nur Azila Mazlin berusia tiga tahun selepas ‘digantung tidak bertali’ oleh suami.

“Selepas dia (bekas suami) menghilangkan diri lebih dua tahun lalu, langsung tiada khabar berita darinya, malah saya juga tidak tahu di mana dia berada,” katanya.

Nor Azura berkata, dalam kedaifan hidup dia tetap bersyukur masih ada insan berhati mulia sanggup memberi sedekah bahan makanan termasuk beras yang diberi seorang pesara guru di Tikam Batu, dekat sini.

“Tiga anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir (SKSP) tidak pernah membawa wang saku kerana saya tidak ada wang untuk diberi kepada mereka,” katanya ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff di rumahnya kelmarin.

Pada kunjungan itu Shahanim turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada Nor Azura serta wang persekolahan.

Menurut Nor Azura lagi, dia juga lega apabila ketiga-tiga anaknya menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah.

“Saya juga ada membuat aduan ke Pejabat Agama Kuala Muda bagi pengesahan cerai yang dilafazkan suami, namun disebabkan suami tidak dapat dihubungi kes saya ditutup,”katanya.

Sementara itu, Shahanim yang simpati dengan nasib Nor Azura sekeluarga berjanji akan membantu mereka.

Katanya, selepas diperhalusi nasib keluarga terbabit, beliau mencadangkan empat daripada lima anak Nor Azura diletakkan di rumah anak yatim dan dipersetujui Nor Azura.

- Harian Metro

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...