TERKINI :

Thursday, October 5, 2017

Empat sebab anak muda tolak politik


PARTI politik sama ada pemerintah mahupun pembangkang sedar golongan muda hari ini enggan terlibat dalam arena politik negara.

Exco Pemuda Umno, Rahman Hussin berpendapat, terdapat empat faktor mengapa anak muda menolak untuk terlibat secara langsung mahupun tidak dalam arena politik.

Katanya, empat fakor itu adalah anak muda merasakan tiada kesan terhadap mereka, kekangan masa dan tenaga, tanda protes dan rasa tidak percaya terhadap pemain-pemain politik.

Menjelaskan faktor pertama, Rahman berkata, anak muda merasakan penglibatan mereka dalam politik negara tidak memberi sebarang kebaikan kepada mereka.

“Pandangan saya sendiri, mereka tidak dapat melihat penglibatan mereka itu memberi kesan secara terus kepada kehidupan mereka.

“Sebab itu, mereka merasakan andai terlibat atau mengambil peduli tentang politik ia tidak memberikan mereka apa-apa. Bahasa mudahnya, kalau ikut politik, bukan boleh naik gaji sekalipun,” katanya.

Beliau berkata, faktor kedua berkait dengan kekangan masa dan tenaga, malah relevan dengan kos sara hidup.

Katanya, anak muda pada hari ini lebih memikirkan masa depan dan bekalan mencukupi untuk kelangsungan hidup.

“Kita harus melihat dari sudut pandang kekangan masa dan tenaga. Ini berkaitan dengan kos sara hidup sebab kebanyakan anak muda sekarang lebih risau tentang memastikan dapur di rumah berasap daripada membabitkan diri dengan aktiviti politik.

“Sebab mereka lebih baik fokus kepada kerja bagi memastikan sumber pendapatan mencukupi. Jadi mereka merasakan tidak perlu terlibat dengan politik, janji ada makanan di dapur,” katanya.

Sementara faktor ketiga katanya, penolakan anak muda terhadap politik negara adalah isyarat protes kerana hanya individu sama menerajui politik negara.

“Kita harus melihat ini mungkin satu tanda protes terhadap politik negara di mana melibatkan pemain-pemain sama.

“Jadi oleh sebab itu mungkin ia dijadikan alasan buat mereka; alahai nak buat apa, kalau masuk politik pun masih lagi orang yang sama; Sampai sekarang pun kita masih bergantung harap pada orang yang sama.,” katanya.

Faktor terakhir menurut Rahman, fenomena orang muda tidak mahu mengambil pusing berkaitan politik adalah merupakan fenomena global.

“Maksudnya di sini, mereka tidak percaya dengan institusi politik negara. Mereka bosan.

Bagi mereka terlibat atau tidak, ambil tahu atau tidak, tidak boleh tukar apa-apa sekalipun,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...