TERKINI :

Friday, October 27, 2017

Empangan Muda Ulu Muda di Kedah kini mengecil akibat penebangan hutan

Empangan Muda mengecil akibat penebangan hutan
Jaseni menunjukkan gambar aktiviti penebangan hutan di Ulu Muda, Kedah.

GEORGETOWN - Kawasan tadahan air di Empangan Muda, Ulu Muda di Kedah kini semakin mengecil berikutan aktiviti penebangan hutan yang makin banyak dijalankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, empangan yang menyalurkan air ke tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu kini semakin mengecil sebanyak 87.3 peratus.

Menurutnya, pada tahun pertama Empangan Muda dibuka iaitu 1969, keluasan kawasan tadahan airnya dilaporkan 98,400 hektar.

"Pada tahun 2008, kawasan tadahannya semakin mengecil dengan keluasan 22,611 hektar dan terkini (2017), keluasannya hanya 12,484 hektar. Kawasan itu seolah-olah mengecil yang mana, kawasan pengeluaran kayu semakin bertambah besar. Perkara ini amat membimbangkan khususnya pada musim kemarau.

"Sehubungan itu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mesti bertindak sekarang untuk mencegah lebih banyak penebangan hutan. Jika tidak, ia akan dianggap sebagai 'penyokong' kepada kemusnahan hutan hujan," katanya kepada media tadi.

Beliau menambah, dengan aktiviti pembalakan di Ulu Muda itu, ia menjejaskan kuantiti dan kualiti air yang disimpan di Empangan Muda.

Tambahnya, penyelesaian terbaik bagi isu pembalakan Ulu Muda adalah dengan pemberian pampasan kepada Kedah.

Jaseni berkata, mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2014, Kedah meluluskan 46,264 hektar hutan untuk pembalakan dalam tempoh 2009 hingga 2014, untuk premium hutan sebanyak RM230.34 juta.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...