TERKINI :

Sunday, October 15, 2017

Dr M: Usaha SPRM hapus rasuah tiada makna tanpa siasatan RM2.6 bilion

 mahathir-macc
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghapuskan rasuah di negara ini tidak bermakna, jika agensi itu mengaburi mata rakyat dengan serbuan kecil tanpa menyiasat sumbangan RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak usahlah cuba bohong, kononnya mereka (SPRM) begitu kuat hapuskan rasuah, selagi tidak ada siasatan terhadap RM2.6 bilion yang ada dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Selagi tidak diadakan siasatan, maka tidak usahlah SPRM dan ketua pesuruhjayanya kaburi mata rakyat,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pada himpunan “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” malam tadi.

Najib sebelum ini menafikan sebarang salah laku dan RM2.6 bilion yang diterimanya adalah sumbangan keluarga diraja Arab Saudi untuk membantu kempen pilihan raya BN.

Pada 26 Januari 2016, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri.

Peguam negara itu berkata, beliau berpuas hati dengan siasatan itu dan mengarahkan 3 kertas siasatan dikemukakan SPRM berkaitan dana RM2.6 bilion dan kes SRC International, ditutup.

Katanya, hasil siasatan menunjukkan jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib ialah RM2.08 bilion yang merupakan sumbangan peribadi keluarga diraja Saudi pada 2013, sebelum RM2.03 bilion dipulangkan kepada penderma pada tahun sama.

Ia disusuli pengesahan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir pada 14 April 2016 yang RM2.6 bilion itu ialah derma yang diberikan tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Dr Mahathir percaya tindakan SPRM menahan 8 individu di Sabah baru-baru ini berkaitan penyelewengan dana RM1.5 bilion untuk pembangunan luar bandar di negeri itu, dibuat demi kepentingan politik BN dan untuk melemahkan PH.

“Kita tahu siasatan ini bukannya disebabkan ada bukti rasuah yang berlaku, tetapi adalah satu cara yang mahu lemahkan PH semata-mata.

“Tetapi, percayalah kami tidak akan gentar walau segala derma, sokongan daripada orang-orang kepada kami sudah dihentikan dan disekat.”

Beliau berkata, corak pemerintahan Najib ketika ini memalukan bapanya, Tun Abdul Razak yang sangat dihormati rakyat.

“Tidak sangka anak Tun Razak jadi seperti ini, ini anak orang yang kita hormati. Sepatutnya tiru seperti bapanya, tetapi sedikitpun tidak seperti bapanya,” kata pengerusi PPBM itu.

Bekas perdana menteri itu berjanji akan mengembalikan wang rakyat dan mengambil semula penjawat awam yang dipecat kerana menyokong pembangkang, jika mereka berjaya memenangi pilihan raya umum ke-14.

“Jangan sesiapa takut, jika mereka rampas harta kamu, bila kami menang, kami akan kembalikannya semula. Jangan takut jika ada yang tidak benarkan kami ikuti himpunan ini.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...