TERKINI :

Sunday, October 15, 2017

“Bersihkan Malaysia dari Najis Rasuah”

Pakatan Harapan bertekad menjadikan Malaysia di antara 10 negara paling bersih di dunia menjelang 2030.

Untuk setiap satu ringgit yang dicuri dengan rasuah, maka kuranglah satu ringgit peruntukan pembangunan sekolah. Untuk setiap sepuluh ringgit yang dicuri dengan rasuah, maka kuranglah sepuluh ringgit subsidi perubatan hospital kerajaan. Berbilion ringgit telah hilang akibat Najis Rasuah yang diamal pimpinan utama UMNO-BN.

Skandal-skandal mega yang dibongkar sejak Dato’ Sri Najib Razak menjadi Perdana Menteri membuka mata rakyat bahawa Rasuah itu Najis yang mengotori dan menghancurkan badan-badan seperti 1MDB, MARA, FELDA, Tabung Haji, KWAP dan YAPEIM. Negara boleh bankrap kerana Najis rasuah.

Wang lebih RM 20 bilion yang dicuri dalam skandal mega 1MDB sebenarnya boleh membina 460,000 rumah kos rendah, menyediakan pendidikan percuma, atau membina 50 buah hospital baru.

SPRM sekarang melapor terus kepada Perdana Menteri. Mereka hanya berani menangkap dan mendakwa “ikan bilis” - pegawai-pegawai rendah kerajaan atau pimpinan pertengahan kerajaan. “Ikan-ikan jerung” seperti MO1 yang merasuah masih bebas.

Apabila pemimpin atasan mencuri wang rakyat menerusi amalan rasuah dan salah guna kuasa, kita lah yang terpaksa bayar hutang negara dengan cukai GST, kenaikan harga minyak dan potongan subsidi beras, gula dan minyak masak.
Pakatan Harapan berikhtiar untuk membersihkan Malaysia dari Najis Rasuah, bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan. Kami bertekad untuk menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih mengikut Indeks Persepsi RasuahTransparency International menjelang tahun 2030.

Maka selepas menang PRU14, kami akan melaksanakan agenda anti-rasuah seperti berikut:

5 Tindakan dalam 100 Hari Pertama Kerajaan Pakatan Harapan:

1. Menangkap MO1 dan “ikan-ikan jerung” lain;
2. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) terhadap penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB dan FELDA;
3. Menubuhkan sebuah badan bebas yang akan berusaha mengembalikan aset dan wang rakyat yang telah dicuri atau diseleweng melalui rasuah;
4. Menjadikan SPRM sebuah badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen; dan
5. Menghapuskan amalan runding terus (direct nego) untuk semua kontrak kerajaan.

Pakatan Harapan berikrar untuk hapuskan Najis Rasuah demi masa depan negara tercinta.

Dibaca oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Pakatan Harapan

Pada

14 Oktober 2017
Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...