TERKINI :

Friday, October 6, 2017

Azmin sifatkan tindakan Jamal biadab

 Azmin sifatkan tindakan Jamal biadab
SUNGAI BESAR - Tindakan Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos memecahkan kira-kira 100 botol arak menggunakan tukul besi di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) semalam disifatkan biadab dan tidak sopan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya tidak boleh menerima individu atau kumpulan bertindak seperti samseng, tidak sopan dan merosakkan harta awam.

"Walaupun Pakatan Harapan kita menganjurkan demonstrasi...kerana itu adalah hak rakyat untuk berhimpun secara aman, tetapi kita tidak boleh terima tindakan seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Notis 5A dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Dewan Hala Cara Baru, Parit 16, Sungai Panjang, di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap Jamal dan kumpulan terbabit.

"Saya difahamkan pihak polis telah mengemukakan kertas siasatan seperti diumumkan di dalam media semalam," katanya.

Jamal bersama tujuh individu lain ditahan polis, di Sekinchan awal pagi tadi atas tindakan memecahkan botol minuman keras di hadapan Bangunan SUK, semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohamed Azmin menegaskan, kerajaan negeri progresif memberikan kelulusan permohonan penganjuran festival membabitkan minuman keras sekiranya penganjur memenuhi syarat syarat ditetapkan.

"Telah terbukti pada tahun lalu dan tahun sebelumnya, kita telah memberi kelulusan, tetapi dengan syarat mesti dipatuhi penganjur.

"Saya difahamkan untuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya penganjur gagal mendapat kebenaran daripada pihak polis.

"Maka atas syarat ditetapkan, kelulusan hanya akan diberikan sekiranya penganjur dapat membuktikan kelulusan diperoleh daripada pihak keselamatan," katanya.

Beliau berkata, syarat ditetapkan itu bukan sahaja memerlukan kelulusan polis, tetapi ada beberapa agensi lain termasuk Kastam dan jabatan teknikal lain untuk menjamin keselamatan pengunjung dan mereka yang terlibat.

"Apabila mereka menganjurkan program ini memang syarat-syaratnya ketat tidak boleh melibatkan orang Islam dan itu memang dipatuhi," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...