TERKINI :

Wednesday, October 11, 2017

Awang Adek tak sedarkah kes Annuar libatkan MARA wang rakyat?

oleh Shahbudin Husin

Ketika Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Mara beberapa minggu sebelum ini, terdampar harapan yang melebar di kalangan masyarakat bahawa beliau adalah pilihan yang mampu membawa sinar baru kepada agensi penting bagi pembangunan kaum Bumiputera itu.

Ini kerana beliau dilihat mempunyai latar belakang yang kukuh dan intergriti yang tinggi dengan pernah menjadi Penolong Gabenor di Bank Negara, Timbalan Menteri Kewangan dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Berbanding pendahulunya, Annuar Musa yang terpalit dengan isu penajaan oleh anak syarikat Mara kepada pasukan bolasepak Kelantan di ketika beliau ketika itu mengetuai Mara dan juga Kafa, kehadiran Awang Adek yang selama ini bersih imejnya, tentulah suatu pilihan yang dibuat dengan niat suci lagi murni.
Advertisement

Tambahan lagi, disebabkan kes tersebut jugalah Annuar digantung jawatannya sebagai Pengerusi Mara dan disiasat oleh SPRM dan Jawatankuasa Audit Dalaman Mara.

Bagaimanapun, hasil siasatan oleh SPRM dan Jawatankuasa Audit itu tidak pernah diumumkan sehingga hari ini.

Tidak dipastikan sama ada kesnya itu sudah ditutup, tiada kes penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan yang boleh dibuktikan atau didiamkan begitu saja berikutan kedudukan Annuar sebagai Ketua Penerangan UMNO yang sejak kebelakangan ini begitu gigih dan ketagih mempertahan dan mengampu Najib, sambil dalam masa yang sama tiada simpati dan mengenang budi dalam membelasah Tun Mahathir Mohamad.

Tetapi kenyataan terbaru dan pertama oleh Awang Adek berkaitan kes Annuar itu tentu saja meluka dan melumpuhkan harapan seluruh rakyat yang cintakan kebenaran dan mahu melihat undang-undang ditegakkan dengan sewajarnya. Keyakinan terhadap beliau juga musnah dengan sendirinya.

Kata Awang Adek, dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang melibatkan Annuar adalah isu lama yang tidak perlu dibangkitkan lagi.

Kes itu sudah berlalu, usah dikenang lagi, kita pandang ke hadapan.

Cerita ini sudah habis, tak perlu bincang. Kita sebagai Pengerusi baharu, mesti ada modal baharu, bukan modal lama, katanya lagi.

Ehh..ehh…boleh begitu pulak?

Apakah ini bermakna Awang Adek mahu menutup kes Annuar itu?

Apa hasil siasatan Jawatankuasa Audit Dalaman Mara terhadap Annuar?

Kenapa tidak diumumkan dan apakah kenyataan Awang Adek itu memberi gambaran hasil siasatan terhadap Annuar akan jadi barang simpanan semata-mata?

Tidakkah beliau sedar kes Annuar itu adalah melibatkan anak syarikat Mara yang bermakna ia berkaitan wang rakyat yang harus diurus dengan jujur dan telus?

Agak-agak kiranya Annuar berada di pihak pembangkang sekarang, adakah kesnya akan didiam dan akan dijadikan cerita lama yang tidak mahu dikenang juga?

Bolehkah kes samunan, penyonglapan atau kehilangan wang rakyat dilupakan begitu saja dan jangan dikenang lagi?

Dan kalau siasatan belum lagi lengkap, tidakkah pendirian Awang Adek yang mengatakan kes rasuah Annuar adalah kes lama yang tidak perlu dikenang merupakan sikap curang terhadap amanah ada dibahunya?

Adakah ini yang selalu disebut oleh ustaz-ustaz mengenai ingatan Nabi Muhammad SAW bahawa di akhir zaman nanti mereka yang bergelar pemimpin adalah penyamun-penyamun belaka di mana mereka bukan saja merompak wang rakyat, malah melindungi sesama sendiri perbuatan itu?

Selain beberapa kes samunan sebelum ini yang tidak diketahui apa hasil siasatannya, kenyataan Awang Adek ini adalah satu lagi bukti bahawa tiada apa yang mampu menyelamat dan memulihkan negara ini melainkan UMNO dan BN ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang.

Selagi ia menang dan kekal berkuasa, mereka akan saling menutup pekung sesama sendiri.

Kiranya Awang Adek pula ada kes selepas ini, penggantinya juga mungkin akan berkata, itu adalah isu lama yang tidak perlu dikenang lagi. Akhirnya semua penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa tutup kes saja.

Dengan itu dan tanpa ragu-ragu, hanya perubahan kerajaan saja mampu menegakkan keadilan dan menyelamatkan wang rakyat daripada terus lesap. – ShahbudinHusin

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...