TERKINI :

Tuesday, October 10, 2017

AMANAH pertahan politik Nik Aziz tolak prejudis perkauman

Sebagai wadah penerus perjuangan Islam, AMANAH akan mempertahankan legasi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menentang keras sebarang prejudis berasaskan perkauman.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa berkata semua orang selalu mendengar ungkapan almarhum yang berkata semua manusia ialah anak cucu Adam.

“Bangsa-bangsa dan puak-puak seperti diajar al-Quran hanya untuk kita kenal-mengenal dan yang terbaik adalah atas ukuran taqwa,” katanya di majlis Asyura bersama Datuk Husam di Wakaf Mek Zainab Kota Bharu kelmarin.

Menurut Husam, di bawah pentadbiran almarhum, pertimbangan politik perkauman ditolak sama sekali.

“Dalam mentadbir negeri, seluruh rakyat dilihat sama rata tanpa mengira kaum.

“Jawatan politik dari peringkat penghulu kampung hingga pegawai-pegawai di pejabat Menteri Besar, semua diberi peluang tanpa mengira kaum,” katanya.

Sebagai pemimpin utama parti pula katanya, dasar terhadap isu perkauman amat jelas dimana tiada prejudis sama sekali berasaskan perkauman.

“Dalam parti, penyertaan bukan Islam begitu jelas bersemangat kerana pendangan dan sumbangan mereka dihargai.

“Di luar parti pula jelas semua orang melihat kita boleh dijadikan sahabat dan begitu mesra untuk bertukar-tukar pandangan dan berkongsi hala tuju perjuangan,” katanya.

Beliau melahirkan rasa syukur kerana AMANAH kini muncul sebagai parti penerus untuk menjadikan Islam tanpa prejudis perkauman.

“Parti saya dulu (Pas) telah kembali mengekori Umno menggunakan sentimen perkauman untuk tujuan politik.

“Dulu kita tuduh Umno guna perkauman, sekarang bekas parti saya itu pula begitu kuat menjadi jaguh menimbulkan prejudis perkauman,” katanya.

Beliau yakin akan membuat penilaian tepat untuk membezakan AMANAH dengan Pas.

“Prejudis perkauman inilah yang membezakan AMANAH dan Pas,” katanya.

Husam dalam ucapannya turut mengimbau kembali sejarah tuan rumah tempat majlis itu diadakan.

“Arwah tuan rumah ini, Nik Li adalah ketua petugas pejabat Pas ngeri Kelantan semasa saya mula menyertai parti itu.

“Hanya beliau yang ada kunci pejabat itu dan bila kami mahu gunakan pada waktu malam untuk mensyuarat atau tamrin sayalah akan datang ke rumah ini ambil kunci,” katanya.

Beliau meminta hadirin menghadiahkan al-fatihah kepada semua pejuang yang ikhlas berjuang bersama dahulu yang telah pulang ke rahmatullah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...