TERKINI :

Saturday, October 7, 2017

420 sekolah berisiko tinggi masalah dadah serius

  Nur Jazlan Mohamed
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pendidikan mengenal pasti 420 buah sekolah di seluruh negara berisiko tinggi menghadapi masalah penyalahgunaan dadah yang serius, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata jika tidak diatasi, masalah itu akan berleluasa dan sukar dibendung.

"Jika aktiviti gejala dadah ini dibendung dari awal kita boleh mengekalkan cara kita dan tidak menjadi seperti mereka yang menggunakan dasar ekstrem," katanya pada sidang media selepas melancarkan CIPTA 2018 di Universiti Malaya, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), turut mendedahkan ujian rambang yang dijalankan terhadap 36,675 pelajar sekolah pada 2015 mendapati 1,475 daripada mereka positif dadah.

Daripada jumlah itu, 1,075 orang atau 73 peratus positif dadah jenis stimulan amfetamina manakala selebihnya positif dadah jenis kanabis.

Ditanya mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), Nur Jazlan berkata jumlah yang terlibat adalah kecil.

Saringan yang dibuat terhadap 11,000 pelajar IPT awam di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini mendapati hanya 250 positif dadah manakala bagi IPT swasta, seramai 158 didapati positif dadah daripada 4,000 pelajar yang disaring, katanya.

"Salah satu sebab mereka ambil adalah tekanan belajar ketika peperiksaan yang mahu berjaga pada waktu malam untuk belajar," katanya.

Terdahulu, Pemadam melancarkan kempen CIPTA 2018 bagi mendekatkan persatuan itu dengan golongan muda melalui pertandingan mencipta logo, cogan kata, lagu dan video untuk Pemadam.

Pertandingan yang akan berlangsung dari 25 Okt hingga 6 Dis ini menawarkan hadiah utama RM10,000 dan penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan itu boleh didapati di laman sesawang Pemadam di pemadam.org.my.- Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...