TERKINI :

Monday, September 4, 2017

TERUS RUNDINGI PAS: AZMIN MAHU BAWA PKR KE MANA?

Kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa inisiatif berunding dengan Pas yang dilaksanakan oleh Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Azmin Ali direstui beliau hanya menambah masalah kepada politik pembangkang.

Sebaliknya, Azmin bergembira dan berkokok mengumumkan kemenangannya mengalahkan para pengkritik yang tidak bersetuju PKR membuntuti Pas merayu meneruskan rundingan.

“Terbukti saya betul. Kebenaran akan mengatasi penipuan. Mencari penyelesaian memerlukan kesungguhan ikhtiar – bukan sekadar untuk meraih perhatian,” tulis beliau dalam akaun Facebook pada 2 September lalu sejurus kenyataan membela beliau dikeluarkan Anwar.

Namun penyokong PH dan netizen yang memerhati secara dekat senario politik tanah air tidak sependapat dengan Azmin dan malah mempersoalkan kenyataan Anwar tersebut.

Sahihkah kenyataan?

Mereka mempertikaikan kesahihan kenyataan itu dengan soalan mudah: Sebanyak manakah kemudahan yang dimiliki Anwar di dalam penjara untuk membuat kenyataan panjang lebar dalam masa sehari? Sebabnya, pada hari Sabtu itu dua kenyataan dikeluarkan serentak. Satu lagi menyebut mengenai kekecewaan Anwar sekiranya beliau tidak dipanggil sebagai saksi skandal dagangan mata wang pada awal 1990an ketika menjawat Menteri Kewangan.

Umum mengetahui untuk membuat dua kenyataan panjang memerlukan suasana yang lebih baik daripada bilik penjara. Kenyataan pula perlu melalui peguam yang mengunjungi beliau untuk dibawa keluar kerana sebelum ini Jabatan Penjara Malaysia menegaskan Anwar tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan dari sel Sungai Buloh. Jadi, rakyat mengadaikan kenyataan beliau tidak ditulis sendiri oleh Anwar kerana pada dasarnya pemeriksaan keselamatan penjara adalah ketat.

Selain itu, kenyataan Anwar itu juga mempunyai kontradik yang tidak sesuai dengan imej beliau sebagai pemimpin berkelas dunia. Pada perenggan awal Anwar menyatakan beliau maklum hujah Rafizi, isu rundingan dengan Pas telah membuang banyak masa yang kritikal untuk memperkemas jentera kempen PH dan PKR menjelang pilihan raya umum ke 14. Kenyataan itu membayangkan keresahan terhadap rundingan yang tidak dimuktamadkan atau mempunyai had masa.

Namun pada perenggan lebih bawah Anwar bukan sahaja tidak memberi kata putus kepada isu rundingan, sebaliknya mahu ianya terus diheret selama mana yang boleh atas dasar menggalakkan pertandingan 1 lawan 1 menghadapi BN.

Kemudian Anwar muncul semula dengan ayat-ayat memaklumi keresahan rakan-rakan politik yang lain berkenaan rundingan selama 2 tahun yang dilaksanakan oleh Azmin sebaik sahaja Pas memutuskan hubungan dengan DAP. Anehnya, dalam masa sama Anwar mengiktiraf keputusan PH untuk menolak sebarang kerjasama dengan Pas yang diputuskan pada 28 Ogos lepas.

Selepas membaca kenyataan penuh yang disiar Malaysiakini rakyat akan mendapati seolah-olah Anwar tidak faham situasi semasa. Terutamanya keputusan PH yang bukan sahaja diputuskan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah tetapi juga oleh barisan kepimpinan DAP, Bersatu dan Amanah.

Dua tafsiran

Dengan mengeluarkan surat sedemikian rupa, dua tafsiran akan berlaku. Pertama, PKR mahu memperlihatkan dominasinya dalam PH dan mahu keputusan menolak Pas dibincang dan diputuskan semula.

Kedua, Anwar hanya mahu ‘berseronok’ mengeluarkan kenyataan yang pada hematnya mustahil dilaksanakan ketika keputusan muktamad telah pun dibuat.

Kedua-duanya bukan sifat Anwar yang fokus dan cermat dalam mencatur gerakan politik. Oleh itu, mengapakah Anwar mengeluarkan kenyataan seperti itu?

Maklumat tidak tepat

Dalam hal ini, mungkin kenyataan Rafizi sebelum ini boleh dijadikan sandaran. Rafizi berkata Anwar mungkin dibekalkan maklumat yang kurang tepat mengenai situasi politik yang melibatkan Pas. Begitu juga penerimaan rakyat mengenai pertandingan 3 penjuru yang lebih meyakinkan tetapi tidak diberitakan kepada Anwar sehingga beliau mengarahkan untuk meneruskan rundingan bersama Pas.

Hal ini boleh difahami kerana orang-orang kanan PKR tidak mempunyai peluang bertemu Anwar. Dr Wan Azizah sekali pun hanya boleh bercakap di mahkamah dan lawatan ke penjara yang terhad tempoh masanya.

Hanya peguam-peguam Anwar seperti Surendren, Lateefa Koya dan beberapa yang lain lebih bebas mengunjungi Anwar. Jika sekiranya berita-berita dan analisis tertentu tidak sampai ke pengetahuan Anwar maka tidak mustahil beliau tersilap dalam membuat keputusan politik.

Keadaan telah berubah

Berbalik kepada perisytiharan kemenangan Azmin yang menyebut beliau betul dan ‘kebenaran’ akan mengatasi penipuan, apakah yang disifatkan Azmin sebagai penipuan itu?

Adakah fakta Pas enggan berunding dengan PKR ? Atau pengaruh Amanah dan Bersatu yang giat menubuhkan cawangan adalah tidak benar?

Hakikatnya, Azmin dan pemimpin di sekelilingnya yang digelar kartel membawa budaya politik yang sukar diterima oleh parti komponen PH, terutama DAP dan Amanah. Beliau meyakinkan seolah-olah tanpa Pas pembangkang akan kalah teruk. Indikator yang digunakan adalah prestasi Amanah dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.

Tentunya keadaan telah berubah. Sejak PRK itu Parti Peribumi Bersatu Malaysia telah wujud dan mengembangkan sayap di semua bahagian Umno di Semenanjung. Kekuatan Bersatu disifatkan oleh penganalisis politik setanding dengan parti Semangat 46 pada era 1990an lalu. Namun ketika itu Pas tidak hebat dan kebangkitan orang Melayu hanya terhad di Pantai Timur serta Utara Semenanjung sahaja.

Hari ini, parti yang disokong orang Melayu selain Bersatu adalah PKR dan Amanah. Menurut penganalisis politik, kekuatan 3 parti yang disokong Melayu itu boleh menumpaskan sama ada gandingan BN dan Pas atau pertandingan 3 penjuru antara BN, Pas dan PH.

Analisis yang berpihak kepada Azmin adalah yang dikeluarkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) di bawah Unisel. Baru-baru ini IDE mengeluarkan kajian pembangkang boleh menguasai 8 negeri jika wujud pertandingan 1 lawan 1.

Tidak dapat difahami mengapakah IDE meninjau sokongan untuk1 lawan 1 sedangkan trend terkini yang patut dikaji adalah 3 penjuru. Adakah hanya fakta ini yang dibawa Azmin bertemu sekutu-sekutu PKR?

Sedangkan kajian melibatkan sampel data lebih besar sebagaimana dilakukan Invoke mendapati PH boleh menguasai sehingga 90 kerusi parlimen jika bertanding 3 penjuru.

Bawa PKR ke jurang?

Untuk itu, dalam hal ini perkara yang lebih besar perlu ditanyakan, apakah akan terjadi kepada PKR sekiranya Azmin naik pangkat menjadi presiden? Adakah kemaruknya beliau untuk bersama Pas akan menyebabkan PKR keluar PH dan memohon menyertai Gagasan Sejahtera yang dipelopori Pas?

Bukankah PKR dan Pas pernah bekerjasama dalam PRU 2004 selepas DAP menarik diri daripada Barisan Alternatif?. Kerjasama yang ‘selekeh’ itu menyebabkan PKR hanya berjaya mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh dan Pas kalah teruk sehingga hampir kehilangan Kelantan.

Jelaslah Azmin pemimpin yang tidak mempunyai visi setanding Anwar atau malah juniornya Rafizi jika mempromosikan mahu menjadi sekutu Pas yang akan menyebabkan PKR hilang kerajaan dan ahli politiknya menjadi orang biasa tanpa gelaran YB.

Sebaliknya, puak presiden PKR yang dianggotai Rafizi, Saifuddin Nasution, Wong Chen dan lain-lain mempunyai pertimbangan yang lebih dinamik. Mereka mengalu-alukan Bersatu dibawa masuk dan menolak Pas yang tidak konsisten.

Azmin dikesampingkan

Dengan wujudnya kerangka PH dan dipengerusikan oleh Dr Mahathir maka Azmin dalam jangka panjang pasti akan dikesampingkan.

Politik bergayut kepada Pas yang flip flop tidak boleh diteruskan jika PH mahu kemenangan dalam PRU. Mahathir yang tegas dan telah membawa kejayaan besar sepanjang memimpin BN akan menolak kepimpinan gaya Azmin.

Selepas kemasukan Bersatu, PH yang selekeh tanpa kepimpinan Anwar telah kembali mendapat penghormatan. Oleh itu, Azmin perlu diberi amaran jika beliau mengekalkan idea-idea berundur ke belakang maka beliau dan geng kartelnya akan diasingkan daripada jawatan-jawatan penting negara sekiranya ditakdirkan PH menguasai Putrajaya.

Sekiranya tidak dan PH hanya menang beberapa negeri pun, geng kartel tidak akan dipilih untuk mengisi jawatan tinggi di negeri-negeri berkenaan.

Jelas pada anggapan kartel tanpa Pas paling kuat PH hanya akan mampu menawan Kedah.

Sebab itu, Azmin tidak melihat perlunya beliau bekerja keras untuk menyokong PH. Bagi rakyat yang dahagakan perubahan, Azmin bukanlah pemimpin berjiwa perubahan dan beliau akan ditinggalkan zaman.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...