TERKINI :

Wednesday, September 27, 2017

Pas tidak akan bersama BN atau PH, kata naib presiden

 Pas tidak akan bersama BN atau PH, kata naib presiden
Naib Presiden Pas Idris Admad menegaskan, Pas tidak akan bersama dengan BN dan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Namun beliau berkata, ada pihak yang ‘sengaja buat tidak jelas’ kerana ‘tidak ada modal’.

“Modal Pas bersama dengan Umno yang dituduh kepada Presiden Pas sejak 2008. Kalau ada anak sekolah sudah masuk belajar darjah tiga. Pas masih tidak bersama.

“Kalau hendak tuduh Pas mesra Umno kerana atas beberapa isu seperti RUU355 dan isu bantuan Rohingya. Pas tidak tuduh PH mesra dengan Umno dan BN, apabila sanggup untuk bekerjasama supaya dapat undi 2/3 di Parlimen untuk pinda Perlembagaan bagi membolehkan 88A dalam Akta 164?

“Cuba bayangkan kalau Pas yang sebut untuk kerjasama dengan BN dalam perkara ini. Puak-puak ini akan canang seantario dunia Pas sudah bersama BN,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa bahawa Pas memang berniat untuk bekerjasama dengan BN pada PRU14 tetapi gagal dilaksanakan apabila mendapat tentangan sebahagian pemimpin kanan parti itu.

Husam berkata, disebabkan itu, permukiman Pas di Pulau Pangkor tidak menerima cadangan untuk bekerjasama dengan Umno-BN.

“Apa perlu kita hendak bincang mengenai hubungan dengan Umno dan Pakatan Harapan kerana perkara ini sudah jelas, Pas akan bersama Gagasan Sejahtera.

“Permukiman pimpinan Pas tidak perlu bincang perkara yang sudah jelas sebelum pimpinan Pas mendarat di Pulau Pangkor. Buat apa hendak bincang perkara yang membuang masa dan membazir air liur sahaja,” kata Idris yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang.

Beliau juga berkata, pihak yang menuduh Pas akan bekerjasama dengan BN bertujuan menimbulkan keraguan ahli dan masyarakat kepada Pas.

“Mereka bukan ada kerja, yang ada hanya bermain persepsi, fitnah dan andaian.

“Setakat hari ini senjata mereka tidak dapat meruntuh kekebalan saf kepimpinan Pas. Pas terus mara ke hadapan.

“Setiap bulan hampir 2000 ahli baru diterima. Sehingga ada di kalangan mereka sudah naik meroyan apabila Tuan Guru Presiden Pas menyeru ahli Pas supaya hadir ke Fastaqim 2.0 di Tok Jembal Kuala Terengganu pada 29-30 Sepetember 2017.

“Tuan Guru Presiden hanya ajak ahli Pas sahaja tiba-tiba mereka pula sakit hati. Barangkali ada masalah dalaman,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...