TERKINI :

Thursday, September 28, 2017

PAS juga tolak pelawaan saringan SPRM

 
Selain Pakatan Harapan yang menolak pelawaan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad kepada parti-parti politik supaya menyerahkan senarai nama bakal calon kepada suruhanjaya itu untuk disaring, PAS juga berkata, parti itu tidak berhasrat berbuat demikian.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tapisan oleh Majlis Syura sudah memadai .

"PAS tidak akan menyerahkan senarai calon kerana kita mempunyai tapisan oleh syura yang turut meneliti kelayakan calon daripada aspek syarak,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian, hari ini.


Tuan Ibrahim juga mengingatkan SPRM bahawa dalam PAS, calon yang fasik pun tidak layak menjadi calon parti.

"Pandangan saya, SPRM tak perlu campur tangan urusan politik. Memadai bagi parti politik memastikan calon mereka tidak terlibat dengan sebarang perlakuan yang bercanggah dengan peraturan dan undang undang negara," katanya.

Semalam, Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau tidak melihat keperluan bagi gabungan pembangkang menyerahkan senarai calonnya dan mempersoalkan “SPRM itu siapa?”

Apabila diberitahu bahawa adalah amalan biasa untuk parti BN mengemukakan senarai calon mereka kepada suruhanjaya itu, Wan Azizah berkata bahawa ini adalah kerana BN "mempunyai masalah" dengan calon mereka yang perlu melalui proses saringan.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pula mencabar SPRM supaya memastikan calon-calon BN yang terpalit dengan skandal 1MDB tidak diletakkan pada pilihan raya akan datang.

Katanya, jika Dzulkifli (foto, atas, no 2 dari kiri) berjaya, maka beliau akan mencadangkan kepada jawatankuasa eksekutif pusat DAP supaya semua calon parti itu turut dikenakan proses saringan oleh SPRM.

Banyak kes rasuah belum selesai

Mengulas isu sama, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, pelawaan SPRM terhadap parti politik itu secara tidak langsung telah mencampuri urusan parti.

“Apabila SPRM mencadangkan parti politik menghantar senarai bakal calon pilihan raya kepada mereka, SPRM telah melibatkan diri dalam urusan politik.


“SPRM sepatutnya kekal bebas tidak perlu masuk campur urusan parti politik,” katanya kepada Sinar Harian.

Iskandar berkata, pembabitan SPRM itu menyebabkan keyakinan rakyat terhadap agensi tersebut terhakis.

“Apabila mereka terlibat di dalam politik maka keyakinan rakyat terhadap mereka akan terhakis,” katanya.

Iskandar berkata, tindakan SPRM itu dibimbangi mempengaruhi keputusan parti politik.

"Walaupun yang menentukan calon masih parti politik tetapi SPRM berupaya mempengaruhi keputusan dengan ulasan-ulasan mereka,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap SPRM seharusnya memberi tumpuan kepada usaha untuk mencegah rasuah dan bukan menentukan siapa calon.

“Banyak kes rasuah yang masih belum selesai. Beri tumpuan kepada kes-kes tersebut.

“Biar parti politik membuat keputusan dan menanggung apa sahaja kesan daripada keputusan tersebut,” katanya.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/396562#rZbY7iiUrgHTwo1W.99

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...