TERKINI :

Wednesday, September 27, 2017

Menteri dedah 6 hospital ‘sakit’


Bernama

Dr-S-Subramaniam
S Subramaniam berkata 5 hingga 6 hospital gagal disiapkan mengikut jadual.

Dr-S-SubramaniamCYBERJAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini mendedahkan terdapat 5 hingga 6 hospital “sakit” yang gagal disiapkan mengikut jadual atas faktor-faktor tertentu.

“Hospital-hospital itu kini ada yang ‘sedikit sakit’ dan ada yang sangat ‘sakit’ dan sedang dalam proses ‘rawatan’,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Hospital Cyberjaya di sini.

Hospital Cyberjaya yang akan menggunakan tenaga solar yang optimum dan teknologi pengumpulan haba bakal menjadi hospital pertama bertaraf platinum di bawah pensijilan Indeks Bangunan Hijau di negara ini.

Mengambil iktibar daripada kelewatan projek pembinaan Hospital Shah Alam, Dr Subramaniam mahu pembinaan Hospital Cyberjaya bernilai RM475 juta itu disiapkan mengikut jadual iaitu pada November 2020 agar dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat.

Dalam kes Hospital Shah Alam katanya, kementerian terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan lebih RM60 juta bagi pembinaan hospital tersebut yang hanya disiapkan pada 2015, iaitu 4 tahun lewat daripada jadual asal pada 2011.

Dr Subramaniam berkata peruntukan sebanyak RM23 bilion untuk Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2017 tidak mencukupi bagi memberi perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat memandangkan kos perubatan yang semakin meningkat.

Justeru beliau berharap Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang turut hadir pada majlis hari ini, mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar menambah peruntukan untuk kementeriannya pada bajet akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang turut hadir ketika ditemui pemberita berkata kementerian mendapat tambahan peruntukan antara 10% dan 15% setiap tahun.

Beliau berkata jumlah kes yang menerima rawatan meningkat setiap tahun dengan tahun lalu sahaja kes pesakit luar mencatatkan pertambahan 10 juta kepada 55 juta kes berbanding 45 juta pada 2015.

“Malah pesakit yang dirawat di dalam hospital juga meningkat lebih 100,000 pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata bajet yang diperuntukkan kerajaan digunakan untuk rawatan pesakit, emolumen, subsidi perubatan dan pembangunan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...