TERKINI :

Thursday, September 21, 2017

KR1M tutup sebab kerajaan habis wang, kata Amanah

PETALING JAYA: Amanah mendakwa penutupan sementara Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) disebabkan dana kerajaan semakin berkurangan dan faktor kelemahan tadbir urus pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil mempersoalkan alasan penambahbaikan seperti diberi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Faiz berkata ini kerana penutupan itu berlaku kepada hampir semua premis KR1M di seluruh negara, sedangkan ia sepatutnya dibuat secara berperingkat tanpa menjejaskan operasi harian semua premis KR1M.

Beliau mendakwa punca sebenar ialah kerana kerajaan sudah kehabisan wang dalam “kantung negara yang berpunca daripada kelemahan tadbir urus pentadbiran kleptokrasi Najib”.

“Ekonomi negara yang meruncing pada hari ini adalah disebabkan kejatuhan nilai ringgit yang didorong oleh kehilangan kepercayaan pelabur terhadap integriti tadbir urus negara sepertimana kenyataan bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bahawa nilai matawang negara tidak akan pulih selagi isu 1MDB tidak diselesaikan,” kata Faiz.

Semalam, Hamzah berkata penutupan sementara KR1M adalah sebahagian daripada penambahbaikan kepada kelemahan sebelum ini melalui inisiatif yang dinamakan KR1M 2.0.

Antara lain, Hamzah berkata ia bakal menggalakkan kerjasama lebih baik antara agensi kerajaan dan membuka peluang perniagaan luas kepada pengilang dan pengeluar tempatan.

Faiz berkata alasan Hamzah itu bertentangan dengan kenyataan Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd, yang diberikan tanggungjawab mengurus KR1M.

Mydin yang ditamatkan kontrak akhir Julai lalu berkata mereka mengalami kerugian besar.

Faiz berkata perniagaan industri kecil dan sederhana yang bergantung kepada pemasaran produk mereka kepada KR1M juga akan terjejas dan ini akan meningkatkan masalah pendapatan dan pengangguran rakyat.

“Justeru, kebaikan produk 1Malaysia kepada rakyat seperti KR1M mula menunjukkan kesan buruk kepada rakyat akibat kelemahan tadbir urus negara terutama kepincangan 1MDB,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/21/kr1m-tutup-sebab-kerajaan-habis-wang-kata-amanah/

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...