TERKINI :

Tuesday, September 12, 2017

Klinik pakar, pesakit luar di Kedah tutup hari ini


Datuk Dr Norhizan Ismail
Datuk Dr Norhizan Ismail


ALOR SETAR - Semua klinik pakar, klinik pesakit luar dan kes-kes pembedahan secara elektif (bukan kecemasan) di hospital di seluruh Kedah akan ditutup sempena cuti kelepasan am berikutan kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, orang ramai yang mempunyai temu janji bagi pembedahan dan pemeriksaan hendaklah menghubungi pihak hospital bagi menetapkan tarikh temu janji baharu.

Beliau berkata, pihak hospital akan menghubungi ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak yang telah ditetapkan temu janji untuk mendapatkan suntikan imunisasi apabila hospital itu dibuka semula seperti biasa pada Rabu.

“Bagaimanapun, perkhidmatan Jabatan Kecemasan dan Trauma di semua hospital akan beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sultan Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit dekat sini pada 2.30 petang tadi dan akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar petang esok.

Dr Norhizan berkata, semua Klinik 1Malaysia akan beroperasi seperti biasa dari 10 pagi hingga 10 malam kecuali Klinik Kesihatan (KK) Bandar Alor Setar yang menyediakan perkhidmatan tempoh lanjutan dari 8 pagi hingga 1 tengah hari.

“Klinik-klinik desa di seluruh negeri ini juga ditutup kecuali perkhidmatan kecemasan tetap yang disediakan di Klinik Kesihatan, Klinik Desa atas dasar panggilan,” katanya.

Klinik-klinik Kesihatan di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Alor Setar dan Sungai Petani juga ditutup begitu juga dengan Klinik Kesihatan Pergigian dan Klinik Pergigian Pakar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang kecemasan pergigian, pesakit boleh mendapatkan rawatan di unit kecemasan hospital daerah yang berdekatan kerana perkhidmatan kecemasan pergigian atas panggilan beroperasi seperti biasa di semua hospital daerah. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...