TERKINI :

Tuesday, September 12, 2017

Istiadat penghormatan terakhir bermula 11 pagi

 Sultan Kedah Mangkat
ALOR SETAR - Rakyat jelata, yang berhasrat memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Baginda Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, boleh berbuat demikian di Istana Anak Bukit di sini bermula 11 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.

Menurut aturcara yang dikeluarkan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman Diraja, orang ramai diminta berpakaian rasmi dan sopan ketika hadir di Balai Penghadapan istana bagi upacara tersebut.

Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman Diraja itu akan dimulakan dengan bersiram, mengkafan jenazah serta menabur cendana pada 8 pagi.

Ini disusuli dengan solat jenazah dan penghormatan terakhir bagi orang awam dan kenamaan di Balai Penghadapan istana.

Sejurus sebelum pengiringan jenazah ke Makam Diraja Langgar untuk pemakaman, istiadat Pengisytiharan Keputusan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja dijangka berlangsung pada 1.30 petang.

Pemakaman dijangka bermula pada 4 petang disusuli dengan majlis tahlil serta doa selamat. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...