TERKINI :

Sunday, September 10, 2017

Adakah kita patut serang Myanmar?

ABDUL MUEIN ABADI
10 SEPTEMBER 2017

AMAT mengejutkan apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendesak kerajaan Malaysia menghantar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Teluk Bengal untuk menghentikan pembunuhan rejim Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Memetik tulisan beliau di Twitter: “Saya desak Kerajaan Malaysia hantar saja TLDM ke Teluk Bengal. Itu sahaja bahasa yang Myanmar faham.  ALLAH selamatkan Rohingya”.

Sebenarnya desakan Datuk Seri Mukhriz ini mungkin mengejutkan, tetapi tidak menghairankan kerana bahkan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman sendiri mengakui bahawa beliau sudah hilang harapan terhadap Asean bagi menyelesaikan isu Rohingya ini.

Tujuh kali mesyuarat Malaysia bersama Asean dan Myanmar ternyata sia-sia: “Within Asean, I have given up hope. We had seven meetings, and Malaysia expressed our concerns to Myanmar and they (Myanmar) promised to address the concern…Until today, nothing has been done. Therefore, Malaysia may raise it at other levels, like the United Nations and OIC”.

Pendirian Datuk Seri Mukhriz ini dilihat lebih agresif berbanding ayahanda beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perlu diketahui bahawa Tun Mahathir bukan sahaja merupakan pemimpin yang bertanggungjawab membawa Myanmar menyertai Asean, bahkan beliau juga pernah berusaha melindungi keselamatan pemimpin pro-Demokrasi Aung San Su Kyi sewaktu ditekan rejim junta tentera dahulu: “Sebelum ini, saya yang memainkan peranan penting dalam memujuk negara-negara Asean yang lain bagi menerima Myanmar sebagai ahli (Asean), termasuk membantu semua rawatan sakit terhadap Aung San Su Kyi… Tetapi kini mereka (Myanmar) sudah berubah”.

Tun Dr. Mahathir juga mengakui bahawa: “Saya juga telah menulis surat kepada Su Kyi mengenai nasib Rohingya dan meminta beliau campur tangan untuk menyelesaikan perkara itu. Tetapi tiada jawapan”.

Disebabkan hal inilah Tun Mahathir kemudiannya berpendirian bahawa Malaysia perlu memutuskan hubungan diplomasi dengan Myanmar “yang terang-terang begitu zalim sekali terhadap rakyat mereka".

Adakah pendirian keras boleh mendatangkan impak yang positif kepada nasib warga Rohingya di Myanmar, kestabilan geopolitik Asia Tenggara, dan seterusnya kepentingan nasional Malaysia?

Dari segi jumlah kekuatan ketenteraan, angkatan TLDM Malaysia dengan dua buah kapal selam menurut Global FirePower 2017 adalah sebanyak 61 berbanding 155 yang dimiliki Myanmar, meskipun Myanmar tidak mempunyai kapal selam.

Bagaimanapun, Indonesia, Turki, dan Pakistan masing-masing mempunyai jumlah aset yang lebih besar berbanding Myanmar.

Indonesia mempunyai sejumlah 221 aset tentera laut dengan 4 kapal selam manakala Pakistan 197 dengan 8 kapal selam dan Turki pula 194 dengan 12 kapal selam.

Malah, Bangladesh yang begitu hampir bersempadan dengan Myanmar juga memiliki jumlah aset tentera laut yang agak besar iaitu 89.  Jika digabungkan kekuatan kuantiti aset angkatan tentera laut Malaysia, Indonesia, Pakistan, Turki, dan Bangladesh, jumlahnya adalah 762.

Bahkan jika hanya 30 peratus daripada jumlah aset ini yang boleh diaturgerak ke Myanmar, jumlahnya saja sudah pun jauh mengatasi jumlah aset tentera laut Myanmar.

Malah sebagai langkah tambahan yang mungkin boleh diambil oleh negara-negara OIC ialah tekanan atau sekatan ekonomi ke atas Myanmar.

Secara statistiknya hubungan dagang Myanmar dengan beberapa negara OIC amat signifikan seperti dengan Indonesia yang berjumlah AS$1 bilion pada tahun 2016 sahaja, dengan Bangladesh (menghampiri AS$100 juta), dengan Turki (sekitar AS$40 juta), dengan Malaysia (melebihi RM3 bilion), serta dengan Pakistan (AS$70 juta).

Namun situasi ini pasti akan menggusarkan kepentingan China dan Thailand kerana kedudukan Myanmar yang berjiran dengan mereka.  China bahkan memiliki pelaburan melebihi AS$20 bilion di Myanmar.

Amerika Syarikat juga pasti tidak akan mengizinkan kepentingan mereka di Myanmar seperti projek yang dimiliki Chevron tergugat.  Perdana Menteri India Narendra Modi yang baru-baru ini bertemu dengan Aung San Su Kyi juga pasti tidak selesa dengan ketegangan yang membabitkan ancaman ke atas potensi kepentingan mereka di bumi Myanmar yang kaya dengan sumber itu.

Demikian juga dengan negara yang rapat dengan Malaysia seperti Jepun dan Belanda serta Kesatuan Eropah (EU) yang masing-masing mempunyai kepentingan di Myanmar.  Maka berdasarkan perkiraan kepentingan strategik negara, sejauh manakah rakyat Malaysia akan bersetuju dengan cadangan mengirim TLDM ke Teluk Bengal?

ABDUL MUEIN ABADI

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...