TERKINI :

Sunday, August 27, 2017

Tidak adil jika saya tidak dipanggil jadi saksi RCI Forex – Anwar

 Tidak adil jika saya tidak dipanggil jadi saksi RCI Forex - Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau bimbang tidak akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) yang kini sedang berlangsung di Putrajaya, walaupun ada “kena mengena dalam perkara yang sedang disiasat”.

Sebaliknya, ketua umum Pakatan Harapan (PH) itu yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun itu berkata beliau hanya dapat mengikuti perkembangan kes ketika kunjungan peguamnya di Penjara Sungai Buloh.

Anwar berkata apabila dipanggil kelak, beliau sedia menjawab tuduhan dibuat oleh salah seorang saksi ketika pendengaran RCI itu Isnin lalu, bekas penolong gabenor BNM, Datuk Murad Abdul Khalid.

“Saya berkata ‘apabila saya dipanggil’ kerana saya berasa amatlah tidak adil jika saksi-saksi lain dibenarkan membuat kenyataan dan dakwaan yang memudaratkan terhadap saya di hadapan Suruhanjaya walhal saya tidak dibenarkan memberi respon kepada mereka dengan cara yang sama,” kata Anwar dalam kenyataan dikeluarkan menerusi PKR hari ini.

Isnin lalu, Murad mendakwa pernah memberikan taklimat kepada Anwar selaku menteri kewangan ketika itu mengenai kerugian berbilion ringgit ditanggung BNM.

Menurut Murad, Anwar memberitahunya beliau terpaksa meletak jawatan sekiranya kerugian itu didedahkan kepada umum.
“Tuduhan ini adalah palsu belaka. Saya tidak pernah berkata sedemikian kepada beliau,” kata Anwar.

“Saya menegaskan bahawa saya tidak perlu berkata sedemikian kepada seorang petugas seperti Murad yang diarah Gabenor BNM Tan Sri Jaffar Hussein untuk memberi taklimat kepada saya berkenaan aspek teknikal perakaunan dan isi kandungan laporan tahunan BNM.”

Anwar berkata beliau berurusan terus dengan Jaffar ketika itu dalam menangani isu tersebut.

Katanya, Murad memusuhinya “secara peribadi” sejak 1999, apabila mengeluarkan akuan berkanun yang terbukti palsu.

“Seorang hakim Mahkamah Tinggi mengesahkan hal ini dan berkata ‘akuan tersebut meragukan (discredited)’ apabila hakim memutuskan New Straits Times bersalah di dalam kes saman saya berkenaan satu laporan akhbar tersebut yang merujuk akuan berkenaan,” katanya. – FMT

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...