TERKINI :

Sunday, August 13, 2017

TAWARAN CHINA - JANGAN HERET MALAYSIA KE KONFLIK KUASA BESAR.

JANGAN HERET MALAYSIA KE KONFLIK KUASA BESAR.


1. Pertimbangan kerajaan Malaysia terhadap tawaran China untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah atau regional counter-intelligence centre di negeri Johor yang turut dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu adalah sangat dikhuatiri akan mengheret negara ke kancah konflik kuasa besar dunia.

2. Tawaran ini adalah momentum negara tembok besar itu dalam memperkukuhkan pencerobohannya di Laut China Selatan. Laporan Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) menyatakan bahawa China hampir menyiapkan lebih 20 struktur bangunan di tujuh pulau buatan di lokasi yang menjadi perebutan di sekitar Laut China Selatan. Pulau buatan ini turut dilengkapi sistem pertahanan termasuk senjata anti pesawat, anti peluru berpandu dan pelancar misil jarak jauh.

3. Pertemuan November ini bersama Presiden China berhubung tawaran China perlu diperhalusi sedalam-dalamnya agar nanti Malaysia tidak akan terheret sama dalam kancah perebutan kuasa besar dunia.

4. Negara-negara ASEAN perlu terus kekal neutral. Sungguhpun Singapura dan Filipina merupakan rakan karib AS tetapi yang paling penting ialah tiada mana-mana negara ASEAN yang membuka wilayahnya untuk pengkalan pertahanan kuasa luar.

5. Diharapkan agar Najib Razak tidak terburu-buru ingin menjadikan Malaysia sebagai satelit China yang baharu. Sekarang ini sudah banyak aset negara yang telah tergadai kepada China, jangan sampai nanti pentadbiran negara akan mengikut telunjuk China. Lihat sahaja pengalaman negara-negara Africa yang menerima pelaburan gergasi dan pinjaman China yang akhirnya merana terpaksa akur kepada negara pemodal gergasi dunia ini.

6. Masih sempat untuk Najib bertindak demi kepentingan rakyat dan negara.

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah)
12 Ogos 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...