TERKINI :

Thursday, August 17, 2017

Saari Sungib : Pengkhianat atau penyelamat

Saari Sungib
Memang dia tidak pernah menganggap dirinya hero tetapi keputusan drastik beliau telah melakar sejarah. Dia tidak sanggup menunggu lebih lama untuk bertindak nekad. Bersedia mengharung umpat-keji demi prinsip yang dipertahan. Nuraninya menunjuk jalan yang jelas, menjadi penyelamat ke atas simpulan yang berkecamuk.

"Tindakan yang saya fikirkan terpuji dan benar rupa-rupanya telah membangkitkan amarah pemimpin nombor wahid Parti Islam dengan memanggil kami 'dicuri, dibeli, broker, barua'. Saya bukan hero. Saya anggap kewajipan saya adalah pertahankan prinsip," Saari Sungib, Adun Hulu Kelang mengimbas kembali kenangan berkaca semasa krisis pertukaran Menteri Besar Selangor 2014.

Langkah jitu-berani Saari bersama seorang lagi Adun Pas-Morib, Hasnul Baharuddin, menandatangani akuan bersumpah menyokong Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB menggantikan Khalid Ibrahim -- tanpa restu Pas -- menamatkan spekulasi ura-ura pembentukan kerajaan baru bersama Umno di Selangor. Sebenarnya, motif Saari lebih kepada menolak usaha mengekalkan Khalid berbanding menyokong Wan Azizah.

Bagi ramai orang, khususnya penduduk Selangor yang memberi sokongan luar biasa kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13, aksi proaktif Saari dan Hasnul itu, disambut penuh kelegaan. Ruang untuk Umno-BN mengambil kesempatan di atas krisis yang nampak membengkak itu tertutup rapat. Bagaimanapun, dua wakil rakyat tersebut berdepan risiko besar dalam parti sendiri, membawa kepada penggantungan keahlian dan kecaman keras tidak terduga oleh Presiden Pas dalam muktamar di Batu Pahat, September 2014.

Saya turut menghadiri perhimpunan tahunan itu atas kapasiti ketua pengarang Harakah. Semasa Ustaz Abdul Hadi Awang membuat ucapan penggulungan di hari akhir muktamar, saya dan keluarga dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur. Dalam hujan renyai, meredah Lebuh Raya Utara Selatan yang agak sibuk, saya mendengar pidato keras Presiden Pas melalui radio internet. Belum reda dengan kontroversi doa laknat perwakilan Wilayah Persekutuan pada hari kedua muktamar, ketua parti menutup persidangan secara "menikam lebih berbisa".

Secara peribadi, kekaguman saya terhadap sosok Saari bukan hanya bermula dengan langkah penyelamat kerajaan Pakatan Rakyat Selangor itu. Dari jauh saya menghormatinya sebagai tokoh awal gerakan Islam tanahair yang mengasaskan Jamaah Islah Malaysia, 1990; pendakwah gigih di sebalik kewujudan IRC, pertengahan 1980-an; reformis tulen pada era pemecatan Anwar Ibrahim; penulis prolifik khususnya ketika dua kali dikurung ISA.

Justeru, apabila mendengar suara lantang Ustaz Hadi membuat dakwaan liar kepada Saari, tiga tahun lalu, saya terkedu. "Mereka curi wakil rakyat kita, beli wakil rakyat kita. Yang jadi broker, yang jadi barua pun ada." Tuduhan kesat bahawa dua Adun Pas itu telah "dibeli" adalah kenyataan serius yang boleh merosakkan reputasi dan nama baik Saari dan Hasnul.

Bukan hanya itu, saya kira ungkapan broker atau barua tidak ditujukan kepada Saari dan Hasnul; ia mungkin lebih dikhususkan kepada pihak ketiga yang menjadi orang tengah. Mungkin saja dihalakan kepada dua tiga kerat pemimpin tertinggi Pas yang diragui kesetiaan mereka. Satu teka-teki yang belum terjawab hingga kini.

Menyingkap kembali krisis pertukaran MB Selangor itu, Saari bercerita panjang: "Sekitar Jun–Ogos 2014, saya difahamkan daripada rakan-rakan reformis dalam Pas dan Keadilan, hubungan Presiden Pas dengan Ketua Umum Keadilan merudum teruk. Ustaz Hadi mempersalahkan Anwar hampir semua kegagalan dalam Pakatan Pakyat.

"Ustaz Hadi juga secara berdepan memanggil Anwar dengan gelaran tak sepatutnya. Pada masa itu cukup tanda dan isyarat Ustaz Hadi tidak mahu kekalkan tahaluf Pakatan. Dia mula bertindak unilateral.

"Ustaz Hadi berjumpa dua kali dan arahkan timbalannya Mat Sabu bertemu sekali dengan pimpinan Pas dan semua Adun Pas Selangor. Majoriti mahu Khalid Ibrahim ditukar." Bagaimanapun Presiden Pas itu mahu turun naik pemimpin adalah persoalan syarak. Jadi, nak ganti Khalid mesti ada sebab syarak yang kukuh.

Difahamkan, Khalid sendiri berjanji untuk melepaskan jawatan. Bagaimanapun, menurut sumber, pimpinan tertinggi Pas itu memberi jaminan akan terus memberi sokongan kepada Khalid sebagai menteri besar. Susulan enggan berhenti, parti memecat Khalid. Beliau seterusnya bertindak balas dengan memecat semua Exco DAP dan KeADILan, manakala empat exco Pas dikekalkan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...